“Bila lah saya akan dapat naik podium lagi”
Keluhan seorang pelumba kategori CP150 yang pernah menyerlah beberapa tahun lalu dalam kategori CP115 yang kini diglar CP125.
Tengku Amirul Haffirudin, pelumba pasukan YYPang Yamaha Racing Team yang masih mencari keserasian dengan jentaranya Y15 sejak ‘dinaikkan pangkat’ ke kategori lebih tinggi pada tahun 2019 meluahkan keinginannya untuk menaiki podium selepas kali terakhir memenangi tempat pertama pada pusingan ke-6 Kejuaraan Malaysian Cub Prix edisi ke-26
“Saya hampir dah nak putus asa. Jika melihat prestasi saya dalam tempoh dua tahun ini, ia memang sangat mengecewakan. Saya jarang berada pada tangga 10 teratas dan dengan keputusan yang kurang memuaskan pada setiap pusingan, saya juga tidak dapat mengakhiri musim di kedudukan yang baik.
“Pasukan saya sentiasa melakukan persediaan secukupnya. Kami hadir ke setiap pusingan dengan keadaan jentera yang cukup sempurna namun masalah mula melanda sebaik kami keluar ke litar. Saya seringkali berhadapan masalah untuk mendapatkan pelarasan yang sesuai mengikut keadaan litar,” jelas Tengku Amirul ketika berkongsi prestasi semasanya.
Tahun 2018 boleh disifatkan sebagai tahun kegemilangan buat pelumba berusia 26 itu dalam kategori CP115 apabila meraih 9 podium daripada 10 pusingan sekaligus menjuarai kategori CP115 secara keseluruhannya dengan mengumpul 233 mata.
Tengku Amirul yang mula berkecimpung dalam arena Cub prix pada tahun 2010 melalui kategori Wira berjaya melebarkan sayap ke kategori CP115 bagi musim seterusnya selepas memperagakan aksi cemerlang dalam tempoh kurang daripada setahun.
Semenjak menyertai saingan CP115 pada tahun 2013, Tengku Amirul berjaya menjelmakan beberapa kemenangan dan beliau juga mengakhiri setiap musim dengan berada tangga tiga teratas sehingga menjuarai kategori tersebut pada musim 2018.
Sebaik saja dinaikkan pangkat ke kategori CP150, pelumba kelahiran Johor itu kelihatan agak bergelut untuk melakar sebarang kemenangan.
Apatah lagi dengan kedudukan Tengku Amirul bagi musim ini berada pada tangga yang paling tercorot selepas empat pusingan tanpa sebarang mata
“Masih ada baki enam pusingan perlumbaan dan saya akui keadaan sekarang agak tertekan. Saya kehilangan banyak mata dan ia sangat merugikan.
“Bukan saya sahaja dalam keadaan tertekan. Pasukan juga terpaksa bekerja keras untuk menyiapkan jentera dan saya yakin mereka dapat menyediakan yang terbaik kepada saya minggu ini. Dengan persediaan secukupnya kami sepasukan, saya yakin dapat memberikan saingan dan kembali ke atas podium.
“Saya rasa lebih selesa dalam kategori CP125 dan saya yakin saya boleh kembali capai apa yang saya telah berjaya mencatat sebelum ini. Saya pernah memberitahu kepada pemilik pasukan kami. Tetapi dia menasihatkan untuk mencuba dulu untuk musim ini dan melebihkan usaha.
“Saya akan cuba yang terbaik untuk mengakhiri musim ini pada kedudukan yang lebih baik tetapi kalau boleh saya nak kembali ke kategori CP125. Saya rindu dengan keselesaan yang saya ada dengan jentera dan saya juga rindu menaiki Podium. Perasaan berada di atas podium itu memang lain daripada lain.” luah Tengku Amirul.
Bagi perlumbaan minggu ini di Dataran Seri Jempol, Tengku Amirul tekad menamatkan perlumbaan tanpa sebarang masalah teknikal sekaligus mengutip mata sulung bagi musim 2022.
Menurutnya kali terakhir berjaya mencatat kemenangan pada litar sementara sepanjang 1.104 kilometer itu adalah pada tahun 2018.
Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022 juga menyaksikan kembalinya persaingan di litar tersebut selepas lebih dua tahun tidak dapat diadakan susulan pandemik COVID-19. Ia dijadualkan berlangsung pada 16 dan 17 Julai ini.
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook