fbpx

FAREEZ SAHUT CABARAN ‘SIFU’

Sudah pastinya setiap pelumba yang menjejaki arena Malaysian Cub Prix mempunyai hasrat untuk melebarkan sayap ke tahap yang lebih tinggi selain beraksi di peringkat Asia dan antarabangsa.

Begitu juga buat pelumba YYPang Yamaha Racing, Md Fareez Afeez Abd Rahman yang kini beraksi dalam kategori CP125 sejak tahun 2014 meluahkan keinginannya untuk beraksi dalam kategori CP150.

“ Semestinya dalam sukan permotoran ini kita nak pergi lebih jauh lagi kan. Saya mempunyai keinginan untuk beraksi dalam CP150. Tetapi untuk capai hasrat itu saya kena juarai kategori CP125 dulu. Itu cabaran yang diberi kepada saya oleh Boss saya.

“Jadi saya kena membuktikan dengan kejayaan untuk saya menyakinkan dia yang saya mampu bersaing dalam kategori CP150.” jelas pelumba kelahiran Johor itu.

Sejak mula berkecimpung dalam arena Malaysian Cub Prix pada tahun 2014, Fareez menunjukkan satu peningkatan yang agak konsisten manakala tahun 2018 menjadi tahun gemilang dalam kariernya apabila Fareez berjaya menaiki podium dalam 4 pusingan sekaligus muncul naib juara kategori CP125.

Bagaimanapun tahun-tahun seterusnya Fareez tidak berjaya mempertahankan kedudukan tersebut atau maju ke depan tetapi beliau mengekalkan kedudukannya pada tangga lima teratas sehingga musim 2021.

Tiga pusingan awal musim 2022 menyaksikan keputusan yang tidak begitu memuaskan tambah lagi dengan pusingan kedua Fareez tidak berjaya menamatkan perlumbaan ekoran masalah teknikal jentera.

Namun pusingan ke-4 mencatatkan nasib berbeza buat Fareez apabila merekodkan kejuaraan pertamanya musim ini dengan catatan masa 13:03.786s di Litar Permotoran Terengganu.

Ia turut menyaksikan beliau yang menduduki tempat kelapan keseluruhan selepas perlumbaan akhir pusingan ketiga berjaya menaik ke tangga ke-3 carta kedudukan pelumba secara keseluruhan.

Mengulas berkenaan kedudukan yang lebih selesa untuk mencapai hasrat menjuarai kategori CP125, Fareez berkata “ Bagi saya ia terlalu awal untuk saya selesa tapi saya akan akan beri yang terbaik untuk mengutip mata berharga supaya saya kekal konsisten dengan kedudukan sehingga akhir musim.

“Saya memang berhasrat untuk menjuarai keseluruhan tetapi ia agak sukar sebab pelumba-pelumba sekarang semua daripada pasukan kuat. Walau apa pun saya akan tetap fokus perlumbaan saya dan beri seratus peratus untuk mendapatkan satu kejayaan.”

Kini Fareez menduduki tangga ke-3 carta pelumba dengan mengutip 44 mata dan juga berkongsi mata dengan Md Shafiq Rasol yang berada di kedudukan ke-2.

Sementara pelumba ONEXOX TKKR Racing Team, Md Hafiza Rofa mengungguli kategori CP125 dengan 75 mata.

Bagi pusingan seterusnya, yang akan berlangsung di Dataran Seri Jempol, Fareez tekad menamatkan saingan sekali lagi di pentas podium dan mahu mengutip mata sebanyak mungkin.

Pusingan ke-5 dijadualkan berlangsung pada 16 dan 17 Julai ini.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook