Selepas empat pusingan sengit dalam Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix, pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING terus mendominasi kategori CP150 dengan kejayaan yang gemilang. Pada setiap pusingan yang telah berlangsung, pelumba-pelumba dari pasukan ini telah menguasai podium, menunjukkan keunggulan mereka dalam saingan.
Md Akid Aziz, antara pelumba terkemuka, telah mengukuhkan namanya dengan kemenangan dalam Pusingan 1, 2, dan 4. Manakala rakan sepasukannya, Ahmad Afif Amran turut memberi sumbangan cemerlang dengan memenangi Pusingan 3 serta meraih P2 dalam Pusingan 4 dan P3 dalam Pusingan 1.
Menyambut kejayaan ini, Amer Saad dari bahagian operasi teknikal berkongsi pandangannya mengenai pencapaian pasukan, “Saya bersyukur untuk musim ini pasukan kami masih lagi berjaya mendapat kemenangan dan berharap dapat kekalkan result yang terbaik hingga ke pusingan seterusnya jika diberi rezeki.”
Apabila ditanya mengenai kunci di sebalik kejayaan konsisten pasukan mereka yang dicemburui ramai itu, Amer menjelaskan, “Kunci pencapaian konsisten kami adalah kerjasama dalam satu pasukan dan disiplin untuk mengikut arahan hasil perbincangan di antara pelumba dan mekanik. Kadang-kadang, untuk penyelenggaraan jentera agak sukar, dalam situasi ini, pelumba kekal bersifat positif dan percaya pada usaha terbaik pasukan.”
Namun, langit tidak selalu cerah. Amer turut berkongsi mengenai cabaran yang dilalui pasukan sebelum mencapai prestasi mereka kini:
“Kebiasaannya, cabaran yang kami hadapi sama seperti pasukan-pasukan lain, seperti masalah tidak sependapat dalam pasukan, ketidakmampuan untuk melakukan penyelenggaraan yang terbaik, dan kos yang terhad dalam perbelanjaan. Namun, sekecil mana pun masalah yang dikesan, kami tidak mengabaikannya sebaliknya sentiasa mencari titik temu untuk membina satu pasukan yang terbaik.”
Menjelang Pusingan 5 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan), Amer menegaskan bahawa persiapan pasukan tidak akan terlepas daripada pemantauan:
“Kami membuat persiapan yang rapi dengan memastikan tiada sebarang masalah pada jentera. Kami sudah mengatur pelbagai strategi dari A, B hingga C untuk berdepan dengan pelbagai situasi yang mungkin kami hadapi. Kami sangat fokus dalam setiap sudut dengan mengkaji semula data perlumbaan dari musim lepas di litar yang sama.”
Amer juga memberikan pandangannya mengenai Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan) dan sasaran pasukan, “Litar Sepang Selatan adalah salah satu litar besar di mana semua pelumba berpeluang untuk menang. Strategi yang bijak dan reaksi yang tepat pada saat perlumbaan, terutamanya dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, adalah kritikal. Sasaran pasukan kami tentunya untuk menang jika ada rezeki untuk kali ini, kerana kami telah melakukan yang terbaik untuk menyediakan diri menghadapi pusingan 5 ini.”