fbpx

AZROY BERI AMARAN AWAL DI SEPANG

Pusingan 5 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan) hari ini menyaksikan pelumba HONDA ESTREMO YUZY RACING, Azroy Hakeem Anuar mencatatkan masa terpantas di sesi kelayakan kategori CP150.

Pada sesi Latihan bebas 2, Azroy Hakeem Anuar dari HONDA ESTREMO YUZY RACING mengetuai dengan catatan masa terpantas 1’15:131s. Md Hafiza Rofa daripada ONEXOX TKKR RACING TEAM menduduki tempat kedua dengan catatan masa terpantas 1’15:378s diikuti pelumba YAMAHA TEKHNE AHM MOTOR SPORTS, Md Faiz Zekri Sabri pada 1’15:447s.

Kemudian pada sesi kelayakan menyaksikan pelumba yang mengetuai kumpulan bertukar-tukar antara Azroy, pelumba ONEXOX TKKR RACING TEAM, Md Shafiq Rasol, Afif dan Akid.

Pada minit ke-8, Afif memintas Akid dan kekal konsisten di kedudukan teratas, namun pada 2 minit terakhir kedudukan Afif dipintas oleh Azroy yang berjaya mengatasi catatan masa terpantasnya dengan 1’14:460s. Kedudukan Azroy kekal sama sehingga tamat sesi kelayakan.

Afif berada di tempat kedua dengan catatan masa terpantas 1’14:736s diikuti rakan sepasukannya, Akid pada 1’14:748s di tempat ketiga.

Menurut Azroy, “Daripada FP1, pasukan dan motor memang sangat sempurna. Pasukan telah bekerja keras sepanjang tahun ini, terutamanya di Teluk Intan yang memang mencabar bagi kami. Kali ini, kita berjaya melakukan kebangkitan. Motor dalam keadaan baik dalam sesi FP1, dan saya dapat menumpukan persembahan terbaik dalam sesi kelayakan. Saya berharap untuk mencapai hasil yang baik. Mudah-mudahan kita boleh membalikkan keadaan bermula dari pusingan ini. Saya sentiasa memberikan 100%, walaupun kadang-kadang tidak semuanya berjalan lancar. Saya berharap persembahan hari ini dapat meningkatkan semangat moral untuk perlumbaan seterusnya. Perlumbaan boleh membawa pelbagai situasi, jadi tidak semestinya meraih Pole hari ini bermakna menang esok. Malah, walaupun bermula dari kedudukan terakhir, masih ada peluang untuk menang. Saya tidak menetapkan sasaran tertentu, tetapi apabila semuanya berjalan lancar, kita akan cuba merebut podium dan kemenangan yang kita nantikan.”