fbpx

BROTHERS 7 HAPUS GELARAN “KERDIL”

Memasuki tahun kedua dalam Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix, pasukan BROTHERS 7 TECH RACING telah menunjukkan peningkatan yang ketara pada musim ini. Pelumbanya, Md Aiman Md Hafis, telah menunjukkan prestasi cemerlang dengan meraih tempat kedua pada Pusingan 3 dan mencatat kemenangan pertama buat pasukannya dalam kategori Wira KBS pada Pusingan 4. Kejayaan ini bukan hanya memberikan dorongan kepada pasukan tetapi juga meningkatkan profil mereka dalam sukan permotoran.

Pemilik Pasukan BROTHERS 7 TECH RACING, Narizman Madin, mengulas mengenai perjalanan mereka dalam kejuaraan ini, “Syukur alhamdulillah kerana kami masih lagi mampu bertahan hingga tahun kedua dalam Cub Prix Malaysia. Walaupun BROTHERS 7 TECH RACING masih muda dalam dunia Cub Prix, kami akan terus komited dan berazam untuk memberikan saingan sebaik mungkin agar pasukan akan terus memacu kejayaan demi kejayaan, inshaAllah.”

Menyusul kecemerlangan Aiman dalam dua pusingan berturut-turut, Narizman menjelaskan, “Kecemerlangan Aiman dalam dua pusingan berturut-turut adalah kerana disiplin yang ditunjukkan oleh beliau dalam segala aspek. Komitmen beliau dalam latihan yang disediakan dan tunjuk ajar jurulatih serta pasukan teknikal amat berkesan dalam kedua-dua perlumbaan yang lepas.”

Dalam usaha untuk mencapai kejayaan ini, beberapa perubahan drastik telah dilakukan. Narizman menyatakan, “Latihan fizikal berterusan, bimbingan tunggangan yang betul dari jurulatih, pemakanan yang seimbang, rehat yang cukup serta dorongan dan sokongan dari pihak pengurusan yang tidak berbelah bagi juga antara perubahan drastik beliau.”

Kejayaan Aiman itu jelas memberi impak besar kepada pasukan. “Sudah tentu ia telah menjadi pembakar semangat kepada pasukan untuk terus berusaha meningkatkan keupayaan jentera serta kerjasama yang lebih jitu dan bersemangat. Dengan dua kejayaan lepas, pasukan kami menjadi tumpuan ramai pemerhati sukan permotoran yang mungkin tidak kenal dengan pasukan BROTHERS 7 TECH RACING yang kerdil ini. Walaupun begitu, kami bertekad untuk terus memberikan saingan dan persembahan meyakinkan dari masa ke semasa, inshaAllah,” ujar Narizman.

Menjelang Pusingan 5 yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan) hujung minggu ini, pasukan sedang membuat persiapan yang rapi. “Pusingan ke-5 di Sepang Selatan merupakan litar yang tidak boleh dijangka oleh semua pelumba dan pasukan kerana keadaan litar yang luas dan panjang. Saingan akan lebih terbuka. Semua pelumba mempunyai peluang yang cerah untuk menang. Sudah tentu pasukan Brother 7 akan cuba sehabis baik dan berusaha untuk kekal antara pasukan yang memberikan cabaran kepada semua pasukan ternama,” kata Narizman mengenai persiapan mereka.

Dengan trek Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan) yang terkenal sukar untuk diramalkan, pasukan telah merancang strategi untuk memastikan kedudukan podium buat kali ketiga berturut-turut. Narizman menjelaskan, “Pasukan dan serta pasukan teknikal akan terus memastikan jentera sentiasa dalam keadaan yang terbaik untuk bersaing agar semua pelumba BROTHERS 7 TECH RACING dapat mengekalkan momentum tunggangan yang baik sepanjang perlumbaan. Latihan fizikal dan tunggangan juga akan terus dipertingkatkan agar pelumba sentiasa kekal fokus sehingga akhir perlumbaan. Kami telah berusaha sebaik mungkin dan kami percaya kejayaan ini juga adalah dibantu oleh perasaan ikhlas, jujur serta kasih sayang antara semua orang dalam pasukan dan kehendak Allah SWT. Terima kasih semua.”