Abdullah Qayyum Abd Razak dari pasukan ONEXOX RACING TEAM berjaya menaiki podium buat pertama kali di pusingan keenam Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix yang telah berlangsung di Litar Sepang Antarabangsa.
Musim ini, Qayyum menyertai pasukan ONEXOX RACING TEAM dan telah menampilkan peningkatan dalam prestasinya. Selama lima pusingan, beliau telah berlumba di samping nama-nama yang hebat bagi kategori CP125 dan walaupun persembahannya agak kompetitif, Qayyum gagal naik podium. Di pusingan ketiga, beliau juga gagal menamatkan perlumbaannya.
Pada pusingan keenam walau bagaimanapun, Qayyum telah memaparkan suatu aksi yang hebat apabila beliau kekal konsisten sepanjang perlumbaan. Beliau juga berjaya menempatkan dirinya di kelompok tiga teratas lalu menamatkan perlumbaannya di tempat kedua. Secara keseluruhan, kejayaan Qayyum telah memantapkan lagi kedudukannya di tangga keempat dengan jumlah sebanyak 54 mata berbanding dengan kedudukan keseluruhan sebelumnya di tempat kelapan.
Menurut beliau, “Perlumbaan pada pusingan keenam adalah berdasarkan pengalaman yang saya alami pada perlumbaan-perlumbaan sebelum ini. Saya matang atur strategi saya terlebih dahulu dan tidak terburu-buru untuk berada di hadapan.”
“Dengan penyertaan saya di pasukan ONEXOX RACING TEAM, saya telah mendapat banyak ilmu dan tunjuk ajar daripada pelumba-pelumba yang lebih berpengalaman. Mereka telah mengajar saya kemahiran berlumba dan cara atur permainan semasa berlumba. Dengan ini, persembahan saya juga telah bertambah baik. Pada pendapat saya, Litar Terengganu agak teknikal bagi saya namun begitu saya akan cuba sehabis baik untuk pusingan seterusnya dan berharap untuk menaiki podium sekali lagi.”
Pengurus pasukan ONEXOX RACING TEAM, Alizan Tambi berkata, “Prestasi Qayyum buat masa kini baik namun boleh dipertingkatkan lagi untuk masa akan depan. Walaupun masih baru di dalam pasukan kami, beliau cepat membiasakan diri dengan pasukan serta jentera.”
“Untuk pusingan seterusnya, kami akan mempertingkatkan usaha untuk memantapkan lagi jentera dan mengurangkan kesilapan agar hasrat pasukan akan tercapai.”
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook