Frasa ‘Self-Made Man’ dalam Lingua Franca adalah frasa yang terkenal dalam era ini dan ia membawa maksud seseorang itu telah mencapai kejayaan atau menonjol dengan usaha sendiri.
Jika kita menterjemahkan frasa tersebut dalam ‘slang’ permotoran, frasa ‘Self-Made Rider’ sangat sesuai diberi kepada pelumba kelas CP150, Md Muzakkir Mohamed dari pasukan ONEXOX TKKR Racing Team yang melalui perjalanan yang cukup mencabar demi merealisasikan minatnya terhadap sukan permotoran.
Kini pelumba kelahiran Selangor itu sudahpun mengharungi satu dekad dalam arena Kejuaraan Malaysian Cub Prix!
“Saya tidak tahu apa-apa selain perlumbaan. Dari dulu ketika di zaman sekolah sehingga hari ini, semua yang saya tahu hanya motor dan litar.”
Itu merupakan ungkapan Muzakkir yang lebih mesra dikenali Muz terhadap diri sendirinya. Perjalanan pelumba berusia 30 tahun itu yang memulakan kariernya sebagai pelumba professional pada tahun 2011, tanpa sokongan keluarga mahupun dari segi sokongan moral atau kewangan, sudah pastinya mempunyai ciri-ciri inspirasi yang harus dipuji.
Walaupun Muz menjejaki litar sebenar secara professional agak lewat iaitu ketika beliau berusia 19 tahun, tahap daya saing yang cukup tinggi membolehkan pelumba tersebut mengecapi beberapa kejayaan yang harus dikagumi. Disebalik kelewatan memulakan karier sebagai pelumba jenteradua roda, Muz berkongsi suka dan duka yang dilaluinya.
“Muz sebenarnya sangat berminat dengan motor sejak saya berada di zaman persekolahan lagi. Namun keluarga saya tidak menggalakkan saya untuk melibatkan diri dalam sebarang jenis perlumbaan atau acara sukan permotoran. Bagaimanapun keinginan untuk menceburi bidang ini terkobar-kobar dalam diri saya sehingga saya membuat keputusan untuk tidak menyambung belajar.
“Selepas saya habis SPM, saya beritahu kepada orang tua saya, Muz tidak mahu sambung belajar dan mahu kerja. Saya rahsiakan keinginan saya. Muz mula bekerja di macam-macam tempat. Kargo KLIA, Fastfood dan pelbagai tempat untuk mengumpul itu. Pada masa itu dalam fikiran saya hanya satu perkara sahaja. Apa jua keadaan saya kena beli satu motorsikal. Saya mula menyimpan wang sedikit demi sedikit.
“Waktu itu, saya memang tidak dapat sokongan dari keluarga walaupun sokongan moral. Memang menyedihkan tetapi kawan-kawan saya sangat membantu. Bila saya dah memiliki motorsikal, saya mula merisik cara menyertai MCP dan berjaya juga mendaftar pada tahun 2011. Sebelum saya dapat tawaran menyertai pasukan Syarikat, selalunya kawan-kawan yang sangat membantu untuk mengumpul dana pergi perlumbaan.
“Bila tiada sokongan dari keluarga itu memang menyedihkan tetapi mereka ketika itu mungkin tidak faham. Boleh juga kata mereka risau. Tetapi bila Muz dah mula menempilkan satu prestasi yang baik mereka pun mula faham,
“Jadi saya sarankan kepada semua ibu bapa jika anak anda meluahkan keinginannya untuk menceburi sukan permotoran, galakkan lah. Ia mampu menghindarkan mereka daripada melibatkan diri dalam aktiviti negatif seperti lumba haram,” jelas Muz.
Selepas hampir 10 tahun berkecimpung dalam arena Cub Prix, impian Muz untuk meraih kemenangan dalam kelas perdana akhirnya muncul pada tahun 2021 pada Pusingan pertama Malaysian Cub Prix edisi ke-28 di Litar Antarabangsa Sepang Selatan.
Walaupun tidak meraih kemenangan besar seperti juara keseluruhan dalam tempoh yang agak lama, Muz kekal konsisten dalam pencapaiannya pada setiap edisi. Pelumba itu juga berjaya melebarkan sayap ke peringkat asia apabila beraksi dalam kelas 600cc dan 250cc di Kejuaraan FIM Asia Road Racing Championship.
“Kalau tanya Muz, saya memang bangga dengan pencapaian saya dalam arena permotoran dua roda ini. Walaupun bukan kejayaan besa ria tetap bermakna buat saya sebab perjuangan saya dalam arena ini agak berbeza daripada pelumba-pelumba lain. Pengalaman dan ilmu yang saya menimba di sini cukup berharga.” katanya dengan mengukir senyuman di wajahnya.
Kini, Muz berada di tangga ke-12 kelas CP150 selepas enam pusingan berlangsung dengan mengutip 23 mata.
“Setiap kali tewas atau tidak dapat mengakhiri perlumbaan saya akan rasa hampir nak putus asa. Saya akan baring dan cakap dekat diri saya sendiri, ini adalah pengakirannya. Tetapi setiap kali saya pergi menguji trek atau sesi latihan, kata-kata semangat daripada rakan sepasukan buat saya bangkit semula.
“Sebab ini sahaja yang saya tahu. Motor dan litar. Saya harap satu hari nanti jika sampai waktunya saya untuk bersara, saya tetap akan meneruskan memberi sumbangan kepada arena permotoran. Saya mahu membuka pasukan saya sendiri. Insyallah ia akan menjadi kenyataan. Saya dah mula belajar selok-belok pengurusan dan pengendalian pasukan.
“Sehingga itu saya akan beri yang terbaik kepada pasukan saya sebagai pelumba. Saya akan cuba sebaik mungkin untuk mengutip mata. Berbaki lagi 4 pusingan saya akan cuba memperbaiki kedudukan saya dan pusingan seterusnya di Terengganu. Nasib saya tidak pernah menyebelahi saya di Litar tersebut. Tidak pernah mencatat sebarang kemenangan di sana dan juga pernah mengalami cedera patah tangan di situ.
“Jadi sasaran Muz adalah untuk menghabiskan perlumbaan sehingga garis penamat dan set-up jentera saya juga lengkap untuk pergi ke hadapan.” jelas Muz.
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook