fbpx

ALIF BERHARAP KEKAL RENTAK POSITIF


Md Alif Izwan Md Samsul Fakry dari pasukan IDEMITSU HONDA YAM RACING telah menampilkan prestasi yang lebih baik di pusingan keenam Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix, musim ke-29 bagi kategori Wira KBS.

Pelumba jentera jenis Honda ini yang kini berada di kedudukan ketujuh belas secara keseluruhan kelihatan telah bergelut untuk lima pusingan pertama kejuaraan ini. Namun begitu, pusingan keenam yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang telah memberikan pelumba ini suatu harapan baharu apabila beliau berjaya di tangga keempat.

Musim ini tidak begitu menyebelahi Alif. Beliau bukan sahaja mengalami kekecewaan apabila gagal berlumba di pusingan pembuka tirai malah di hampakan lagi apabila beliau gagal menamatkan pusingan kedua apabila beliau terjatuh. Pusingan ketiga dan keempat, Alif tidak dapat berlumba kerana kecederaan yang dialaminya dan pada pusingan kelima, beliau gagal beraksi di Dataran Jempol dan hanya mendapat tempat ketiga belas.

Pada pusingan keenam, Alif membuat kejutan apabila menamatkan perlumbaan 7-lap di tempat keempat dengan catatan masa 10’18:066s

Menurut Alif, “Bagi musim ini, perlumbaan-perlumbaan sebelum ini sememangnya tidak baik bagi saya. Pada perlumbaan pertama, saya menghadapi masalah teknikal di lap pertama. Saya tidak dapat menamatkan perlumbaan. Di perlumbaan kedua pula, saya jatuh dan mengalami kecederaan di pergelangan tangan yang menyebabkan saya tidak dapat berlumba untuk pusingan ketiga dan keempat. Perlumbaan kelima di Dataran Jempol adalah perlumbaan pertama saya selepas kecederaan tetapi saya masih tidak pulih sepenuhnya walaupun saya yakin.”

“Di Litar Sepang, saya dapat memberikan keputusan yang positif bagi pasukan saya. Beberapa hari sebelumnya, saya dan pasukan telah melakukan percubaan di litar tersebut dan kami telah mendapatkan penyelarasan yang terbaik bagi jentera kami. Saya juga telah bersedia secara fizikal dan mental dengan 100% fokus kepada perlumbaan. Sebelum perlumbaan, pasukan saya ada berbincang mengenai strategi tetapi strategi tersebut tidak menjadi kerana salah seorang pelumba sepasukan saya terjatuh. Justeru itu, saya hanya mampu memberikan yang terbaik dan berjaya mendapat tempat keempat. Untuk perlumbaan yang akan datang, saya akan berikan yang terbaik.”

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook

, , ,