fbpx

PERSEMBAHAN TERBAIK UNTUK PEMINAT


Pusingan Kelima Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix akan ke Litar Permotoran Terengganu pada hujung minggu ini. Bersama pelumba-pelumba lain adalah Ahmad Afif Amran dari PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing bagi kategori CP150 yang akan meneruskan usaha untuk menguasai kejuaraan pada musim ini.

Afif yang kini menduduki tempat kelima secara keseluruhan nampaknya terpaksa meningkatkan usahanya jika beliau ingin mengulangi kejayaan musim lepas sebagai juara keseluruhan. Walaupun beliau telah menaiki podium di tempat kedua sebanyak dua kali di musim ini, status “DNF” di pusingan kedua telah menggugat kedudukan beliau. Di tambah lagi dengan prestasi yang kurang memuaskan di pusingan keempat di mana Afif hanya meraih 4 mata.

Masih awal lagi untuk menentukan pencapaian pelumba-pelumba kategori CP150. Tetapi apa yang sah adalah kelebihan Afif di litar perlumbaan kampung halamannya. Pada musim lepas, beliau telah tampil dengan aksi yang hebat di litar tersebut dan telah meraih tempat ketiga di pusingan keempat dan tempat kedua di pusingan ketujuh. Selama tempoh berlumba, Afif telah menunjukkan kebolehannya untuk memahami jenteranya dan memaksimakan kapasiti di atas litar yang lebih teknikal.

Menurut Afif, “Musim ini, boleh dikatakan agak menarik di mana jentera setiap pasukan hampir sama kuasa. Pada pusingan lepas, saya memang tidak menaruh sasaran yang tinggi sebab saya di antara salah seorang pelumba yang berat dalam kategori CP150 dan agak mencabar untuk mencapai kelajuan maksima. Perlumbaan pada hari itu memang bermula dengan nada yang baik tetapi saya kurang bernasib baik pada selekoh kedua di lap terakhir.”

“Litar Terengganu adalah litar yang bagus untuk semua pelumba. Bagi saya, pencapaian terbaik di sini adalah di tempat kedua atas podium. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa pelumba-pelumba semakin hebat pada musim ini terutamanya pelumba-pelumba muda yang dahagakan kemenangan. Salah seorang pelumba yang prestasinya telah meningkat dan semakin hebat pada musim ini adalah rakan sepasukan saya, Akid. Saya amat gembira dengan pencapaiannya setakat ini dan kami akan teruskan usaha bersama untuk memberikan yang terbaik untuk pasukan kami. Pusingan kelima akan berlangsung di “hometown” saya, maka saya akan menggandakan usaha untuk memberikan persembahan yang hebat untuk peminat-peminat saya.”

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook

, , ,