Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix akan sekali lagi membawa keceriaan berlumba ke Litar Permotoran Terengganu yang akan berlangsung pada hujung minggu ini bagi pusingan kelima. Md Hafiza Rofa dari pasukan ONEXOX TKKR RACING TEAM akan meneruskan semangat perjuangannya untuk meraih kedudukan yang lebih baik di kategori CP125.
Berasal dari Terengganu, litar permotoran bukanlah sesuatu yang baharu bagi Hafiza yang sudah bertahun-tahun beraksi di kejuaraan ini. Litar yang dikenali untuk susun aturnya yang agak teknikal menjadikannya suatu litar yang agak menarik lebih-lebih lagi pelumba-pelumba CP125 yang mantap. Pada musim lepas, Hafiza “DNF” di pusingan keempat yang berlangsung di litar tersebut tetapi di pusingan ketujuh, beliau tampil dengan aksi hebat apabila beliau meraih tempat ketiga.
Hafiza pada ketika ini menduduki tempat keenam secara keseluruhan. Perlumbaan-perlumbaan sebelum ini di litar-litar yang agak teknikal walaupun telah memberikan beliau kelebihan masih tidak dapat menempatkan beliau di kedudukan yang lebih baik. Bagi seorang pelumba yang berkaliber dan berpengalaman, perlumbaan pada musim ini jelas agak mencabar bagi Hafiza dan peluang untuk merebut lebih mata mungkin lebih baik di litar kampung halamannya.
Menurut Hafiza, “Musim ini agak menarik bagi saya kerana pelumba-pelumba agak kompetitif dan di setiap pusingan, cabarannya adalah berlainan, maka pengalaman dan pengetahuan yang di timba juga agak berbeza. Di pusingan keempat hari itu, saya hampir-hampir mendapat tempat di podium tetapi masalah teknikal yang berlaku pada jentera saya telah menggugat kedudukan saya. Tetapi, saya pasti akan mendapat peluang lain walaupun pasukan-pasukan kategori CP125 semakin hebat.”
“Untuk pusingan yang akan datang, pasukan saya dan saya akan berhempas pulas untuk mencari jalan ke podium pertama bagi musim 2023. Saya sangat bersedia lebih-lebih lagi, Litar Terengganu adalah kegemaran saya. Berlumba di kampung halaman sendiri amatlah berbeza berbanding dengan litar-litar lain. Saya akan cuba berada di kelompok hadapan sepanjang perlumbaan nanti. Bagi saya, Litar Gong Badak adalah litar yang teknikal dan memerlukan stamina dan mental yang kuat sepanjang perlumbaan. Sebagai persiapan, saya memberikan fokus kepada pembinaan fizikal dan mental. Bagi seorang pelumba, sokongan dan dorongan keluarga adalah amat penting. Ibu bapa dan adik-beradik saya adalah pendorong utama dalam kerjaya perlumbaan saya. Saya juga mempunyai ramai rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan moral kepada saya. Maka perlumbaan kali ini, saya akan memberikan persembahan yang terbaik.”
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook