Walaupun diletakkan antara pelumba pilihan, pendahulu CP150, Ahmad Afif Amran akui persaingan kelas CP150 kini semakin terbuka dan tiada pelumba pilihan untuk memenangi perlumbaan pada pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jasin, Melaka yang akan berlangsung pada 21 dan 22 Julai ini.
Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing itu muncul juara pusingan kedua di MAEPS, Selangor melalui pertarungan sengit bersama Mohd Akid Aziz manakala perlumbaan pusingan pertama di Tangkak, Johor menjadi milik juara bertahan, Kasma Daniel Kasmayuddin.
Kemenangan tersebut membantu Afif untuk naik ke kedudukan pertama keseluruhan dengan 45 mata namun diekori rapat oleh Kasma dengan 41 mata.
“Saya gembira kerana dapat memenangi perlumbaan lepas. Ia satu kemenangan yang sangat sukar. Pada masa sama, jika dilihat secara keseluruhan, persaingan tahun ini dijangkakan akan lebih sengit,†jelas Afif.
“Jika tahun lepas perhatian banyak tertumpu kepada Kasma, namun tahun ini sukar untuk membuat jangkaan. Rakan sepasukannya Akid juga perlu diberi perhatian walaupun tahun pertama dalam kelas ini. Begitu juga dengan pelumba-pelumba lain.
“Malah pelumba yang menggunakan jentera Honda juga sudah mula menunjukkan peningkatan ketara dan mempamerkan keupayaan sebenar mereka. Jadi tidak mustahil kita akan dapat melihat pemenang-pemenang yang berbeza dalam setiap pusingan,†jelas naib juara keseluruhan CP150 musim 2017 itu.
Tambahnya, “Dengan persaingan sengit seperti ini, ia memaksa kami sepasukan untuk terus bekerja keras. Saya gembira kerana rakan sepasukan, Hafiz Nor Azman dan Aiman Tahiruddin juga sama-sama berada di kelompok hadapan dan ia baik untuk kami sepasukan. Mudah-mudahan sesiapa sahaja diantara kami bertiga dapat menaiki podium pada minggu ini.â€