fbpx

BUKAN MASA UNTUK BEREHAT – FUAD


Pengurus pasukan SIC Junior Team AFB Tech Racing, Ahmad Fuad Baharudin menegaskan pasukannya perlu terus bekerja keras sekalipun   pelumba utamanya, Mohd Danial Syahmi sudah memenangi dua perlumbaan berturut-turut kelas WIRA KBS Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018.

Menjelang perlumbaan pusingan ketiga di Jasin, Melaka, hujung minggu ini, Ahmad Fuad berkata seluruh pasukan terutama pelumbanya telah diingatkan untuk terus memberikan 100 peratus komitmen mereka dalam setiap pusingan perlumbaan.

“Saingan musim 2018 baharu saja bermula. Masih ada baki lapan pusingan sebelum musim tamat. Dua kemenangan berturut-turut bukan tiket buat pasukan dan pelumba terutamanya Danial untuk berasa selesa,” jelas juara tiga kali kelas perdana Kejuaraan Cub Prix itu.

Tambahnya, “Begitu juga dengan jurutera pasukan. Saya tidak mahu mereka melakukan sebarang kesilapan mudah yang boleh menjejaskan aksi pelumba di litar. Jika pelumba sudah memberi yang terbaik tetapi jentera pula mengalami masalah mekanikal, sudah tentu ia sangat mengecewakan,” jelasnya.

, , ,