Berbaki hanya dua pusingan, saingan perebutan takhta kejuaraan Yamaha PETRONAS Super Series (YPSS) masih terbuka. Enam pelumba masih mempunyai peluang untuk berentap merebut gelaran juara musim ini. Lima daripada mereka ini telah memenangi tujuh daripada lapan perlumbaan yang telah dilangsungkan musim ini dan sesiapa sahaja mampu mencipta kejutan nanti.
Md Faiz Khairul Azmi yang melakar empat podium dan dua kemenangan mendahului senarai pelumba dengan mata terkumpul 116 mata. Faiz yang bermula agak suram pada awal musim tiba-tiba mencipta kejutan dengan dua kemenangan pada Pusingan 3 dan 4 dan meneruskan rentak konsisten dengan podium berganda di Kuala Terengganu. Faiz kemudian hanya mengumpul 10 mata di Tangkak apabila gagal menamatkan perlumbaan Pusingan 8.
Md Afeez Aiman Effendy merupakan pencabar terdekat Faiz dengan hanya perbezaan 5 mata. Afeez yang melakar kemenangan pada Pusingan 8 di Kuala Terengganu melengkapkan koleksi tiga podium musim ini dan kemudian kurang menyerlah pada dua pusingan berikutnya di Litar Lumba Tangkak.
Berada di tempat ketiga adalah Md Adie Putra Sukarno yang melonjak dari kedudukan ketujuh setelah mendominasi dua perlumbaan di Litar Lumba Tangkak bulan lalu. Mengumpul 95 mata, Adie dilihat mampu menggugat kedudukan pendahulu jika berjaya mengekalkan momentum kemenangan ke Sepang nanti.
Satu-satunya pelumba dalam senarai ini yang tidak pernah memenangi perlumbaan musim ini adalah Md Alif Izwan Samsul Fakry yang telah mengutip 91 mata melalui 3 podium dan kini beliau berada di kedudukan keempat. Mengekori di tempat kelima dan keenam adalah Md Aildil Md Ayub dan Ahmad Iqram Danish Ahmad Ghazali dengan masing-masing mengumpul 82 dan 79 mata.
Aildil telah melangkah ke podium sebanyak 3 kali dengan satu kemenangan manakala Iqram hanya 2 podium dan satu kemenangan namun berdasarkan rekod perlumbaan di Litar Sepang Selatan ketika pembukaan musim, hanya Iqram satu-satunya pelumba dari senarai ini yang berjaya meletakkan diri di podium.
Pastinya kita akan menyaksikan mereka mempamerkan aksi terbaik memburu gelaran juara Yamaha PETRONAS Super Series (YPSS) pada 17-19 Disember akan datang apabila Kejuaraan PETRONAS Cub Prix Malaysia akan menamatkan musim ini dengan dua pusingan terakhir di Litar Sepang Selatan nanti.
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook