Hanya 17 mata sahaja lagi memisahkan Alif Imran Ahmad Husni dari memiliki trofi kejuaraan Honda Dash 125 Challenge. Beliau pastinya ingin bangkit dari kekecewaan di Litar Lumba Tangkak yang menyebabkan hasrat pelumba kelahiran Johor itu dinobatkan juara lebih awal tertangguh.
Berbekalkan rekod cemerlang 6 podium berturut-turut serta 5 kemenangan sejak awal musim, ramai menyangka Alif akan mendominasi perlumbaan Pusingan 7 dan 8 sekaligus dinobatkan juara di Tangkak namun nasib tidak menyebelahi beliau. Hasrat itu perlu dibawa ke Litar Sepang Selatan apabila buat pertama kali musim ini beliau terlepas podium dan hanya menamatkan perlumbaan di tempat keempat pada Pusingan 7. Nasib malang terus menimpa beliau apabila tidak dapat menamatkan perlumbaan Pusingan 8.
Kembali ke Sepang minggu depan, Alif mempunyai peluang cerah merangkul kejuaraan berasaskan kutipan masa semasa dan rekod perlumbaan musim ini di litar berkelajuan tinggi seperti Litar Sepang Selatan. Pelumba yang menggunakan jentera bernombor 5 ini dijangka mampu mengulangi kejayaan mendominasi litar ini seperti yang dilakukan ketika perlumbaan pembukaan awal musim lalu.
Hanya Aisy Izz Hafiy Hairul Hafiz yang mempunyai peluang tipis untuk mencabar kejuaraan namun perbezaan 34 mata seakan memberi gambaran Alif hanya perlu menduduki tempat kedua pada Pusingan 9 untuk memastikan trofi kejuaraan menjadi milik beliau.
Sama-sama kita saksikan nanti apa yang akan dilakukan Alif Imran nanti apabila dua pusingan terakhir Kejuaraan PETRONAS Cub Prix Malaysia akan mengegar Litar Sepang Selatan pada 17-19 Disember nanti.
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook