fbpx

PENAMAT PENUH DRAMATIK OLEH AZLAN DI BURIRAM

Penamat dramatik.

Itu yang dibuktikan oleh pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Racing Team, Azlan Shah Kamaruzaman ketika menjuarai perlumbaan 2 kategori ASB1000 pada Pusingan 3 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM 2019 di Litar Antarabangsa Chang petang ini.

Langkah berani pelumba berpengalaman negara itu untuk melakukan pecutan pada selekoh terakhir telah membolehkannya untuk memintas pemimpin perlumbaan, Broc Parkes dari Australia, sekali gus meraih gelaran keduanya di bumi Buriram ini.

Semalam, Azlan yang menunggang jentera BMW S1000 RR, turut melakar nama sebagai juara Perlumbaan 1 dan hari ini dia melengkapkan gelaran berganda itu menerusi kemenangan bergaya pada Perlumbaan 2.

Detik dramatik itu berlaku kira-kira 150 meter daripada garisan penamat yang menyaksikan Azlan berjaya memintas Broc yang seakan-akan sudha begitu yakin untuk memenangi perlumbaan tersebut.

Namun, kesilapan yang dilakukan oleh pelumba Australia itu yang membuka ruang ketika mengharungi selekoh terakhir telah dipergunakan sepenuhnya oleh Azlan untuk memecut laju bagi menempatkan dirinya di hadapan.

Langkah bijak yang dimbil oleh Azlan itu telah membuahkan hasil dan sebaik berjaya memintas dua pelumba di hadapannya itu, pelumba berusia 34 tahun itu memecut pada tahap maksimum sehingga ke garisan penamat.

“Ini kejayaan yang sangat bermakna buat pasukan kami, lebih-lebih lagi selepas memenangi kedua-dua perlumbaan bagi kelas ASB1000.

“Kemenangan ini adalah hasil daripada sikap sabar ketika mengharungi perlumbaan serta bijak mengawal keadaan. Terima kasih kepada semua yang telah memberi sokongan kepada saya dan juga pasukan,” jelas Azlan.

Pada perlumbaan tersebut, Azlan melakukan catatan masa keseluruhan 20:59.735s dengan kelajuan maksimum 293.7 kilometer sejam.

Broc yang memenangi perlumbaan Pusingan 2 di The Bend Motorsports Park, Australia April lalu melakukan catatan masa 20:59.870s manakala pelumba Thailand, Apiwath Wongthananon (Yamaha Thailand Racing Team) di tempat ketiga dengan 20:59.874s.

Walaupun tewas, Broc masih kekal memimpin kedudukan keseluruhan pemandu dengan mengumpul 105 mata.

Terdahulu, dalam saingan kelas SS600, pelumba Thailand, Peerapong Boonlert yang menggalas cabaran pasukan Yamaha Thailand Racing Team, turut melakar gelaran juara berganda apabila memenangi Perlumbaan 2 petang ini.

Kejayaan tersebut memenuhi hasratnya untuk menghadiahkan kemenangan kepada penyokong di negara kelahirannya itu.

Sepanjang perlumbaan tersebut, Peerapong sememangnya sukar digugat, malah terus konsisten memperlihatkan tunggangan yang konsisten sehingga ke garis penamat.

Dia menjuarai Perlumbaan 2 itu dengan catatan masa keseluruhan 19:58.199s.

Pelumba Malaysia, Muhamad Adam Mohd. Norrodin (SIC Junior ZK Racing Team) semakin memperlihatkan kematangan apabila sekali lagi muncul naib juara dengan catatan masa 20:01.88s manakala pelumba pasukan Hong Leong Yamaha Malaysia Kasma Daniel Kasmayudin di tempat ketiga dengan masa 20:05379s.

“Peerapong ternyata terlalu pantas untuk dikejar. Kepantasannya sangat konsisten serta bijak mengawal perlumbaan,” jelas Adam.

Menurutnya, mereka akan terus berusaha untuk menyekat penguasaan pelumba Thailand itu pada pusingan seterusnya.

 

 

INFO

KEPUTUSAN PERLUMBAAN 2 ASB1000 (5 teratas)

Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) ONEXOX TKKR SAGRacing Team – 20:59.735s

Broc Parkes (AUS) Yamaha Racing Team ASEAN – 20:59.870s

Apiwat Wongthananon (THA) Yamaha Thailand Racing Team – 20:59.874s

Md Zaqhwan Zaidi (MAS) Honda Asia Dream Racing With SHOWA – 21:01.1992

Ahmad Yudhistira (INA) Victor Racing Team – 21:02.490s

 

KEDUDUKAN PELUMBA ASB1000 (5 teratas)

Broc Parkes (AUS) Yamaha Racing Team Asean – 105 mata

Azlan Shah Kamaruzaman(MAS) ONEXOX TKKR SAG Team – 97

Md Zaqhwan Zaidi (MAS) Honda Asia Dream Racing With SHOWA – 84

Apiwat Wongthananon (THA) Yamaha Thailand Racing Team – 76

Yuki Ito (JPN) Yamaha Racing Team Asean – 69

 

 

KEPUTUSAN PERLUMBAAN 2 SS600 (5 teratas)

Peerapong Boonlert (THA) Yamaha Thailand Racing Team -19:58.199s

Muhamad Adam Mohd.Norrodin (MAS) SIC Junior ZK Racing Team – 20:01.688s

Kasma Daniel Kasmayudin (MAS) Hong Leong Yamaha Malaysia – 20:05.379s

Md. Ramdan Rosli (MAS) ONEXOXTKKR SAG Racing Team – 20:11.114s

Andi Farid Izdihar (INA) ASTRA Honda Racing Team – 20:11.394s

 

 

KEDUDUKAN PELUMBA SS600 (5 teratas)

Peerapong Boonlert (THA) YAMAHA Thailand Racing Team – 150 mata

Andi Farid Izdihar (INA) ASTRA HONDA Racing Team- 71

Azroy Hakeem Anuar (MAS) Musashi Boon Siew HONDA Racing Team – 69

Muhamad Adam Norrodin (MAS) SIC Junior ZK Racing Team – 69

Kasma Daniel Kasmayudin (MAS) Hong Leong YAMAHA Malaysia – 69