fbpx

MINI CUB PRIX 2019 BERMULA DENGAN SESI PEMILIHAN SABTU INI


Litar Pocket Bike di Seremban 2, Negeri Sembilan jadi gelanggang pemilihan

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Litar Pocket Bike di Seremban 2, Negeri Sembilan akan menjadi gelanggang untuk memilih pelumba berbakat yang akan bersaing dalam kejuaraan Mini Cub Prix bagi musim 2019.

Sesi pemilihan itu yang dikhususkan kepada kanak-kanak yang meminati sukan pemotoran, akan berlangsung Sabtu ini (13 Julai) bermula pukul 9 pagi hingga 2 petang dan motosikal mini akan disediakan oleh pihak penganjur.

Proses pemilihan tersebut akan dikendalikan oleh beberapa pakar tempatan yang arif tentang sukan pemotoran.

Mini Cub Prix ini merupakan program sukan pemotoran peringkat akar umbi yang bertindak sebagai langkah awal untuk mengesan bakat baharu sebelum mereka melangkah ke kejuaraan yang lebih berprestij.

Sejak ia mula diperkenalkan, program ini telah mendapat sambutan yang luar biasa, malah ramai dalam kalangan pelumba yang beraksi pada kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas masa kini, merupakan graduan Mini Cub Prix.

Proses pemilihan hanya terbuka kepada para pelumba berusia 12 hingga 13 tahun terutama yang berhasrat untuk merebut slot bersaing dalam kelas KBS Junior nanti.

Seperti yang berlaku pada edisi 2018 lalu, barisan pelumba terbaik dalam kelas KBS Junior berpeluang untuk mengembangkan bakat mereka menerusi kelas Mono-Brand pada saingan Cub Prix di musim berikutnya.

Program pembangunan sukan pemotoran peringkat akar umbi yang amat terancang itu kini telah membuahkan hasil yang sangat menggalakkan sejak ia mula diperkenalkan tahun lalu.

Salah seorang graduan edisi 2018, Farid Hakimi Farid Sezli adalah contoh terbaik kerana bakat dia kini semakin berkembang, malah telah menguasai saingan bagi kategori Honda Dash 125 Challenge pada kejuaraan tempatan.

Kejuaraan Mini Cub Prix bagi musim 2019 akan dilangsungkan dalam empat pusingan dengan Litar Antarabangsa Sepang akan menjadi gelanggang untuk Pusingan 1 pada 27 Julai nanti.

Pusingan 2 akan diadakan di Kuala Terenggau pada 24 Ogos diikut Pusingan 3 (14-15 September) di Litar Antarabangsa Sepang dan Pusingan 4 (7 Disember), juga di Litar Antarabangsa Sepang.

 

,