fbpx

FAZLI SHAM KUASAI PERLUMBAAN 2 UB150

Ahmad Fazli Sham menghadiahkan kemenangan pertama buat pasukannya dalam kelas Underbone 150 (UB150) apabila menjuarai Perlumbaan 2 pada Pusingan 3 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM 2019 di Litar Antarabangsa Chang hari ini.

Walaupun permulaan perlumbaan tersebut terpaksa dilakukan sebanyak dua kali, namun ia ternyata tidak menjejaskan fokus pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Racing Team itu untuk bergelar juara.

Pemulaan perlumbaan terpaksa dilakukan semula gara-gara perlanggaran membabitkan tiga pelumba kira-kira 30 meter daripada garis mula, namun tiada kecederaan serius dilaporkan.

Kemenangan tersebut dianggap sebagai amaran daripada Fazli bagi membuktikan kelibatnya wajar digeruni dalam kelas UB150.

Pada Pusingan 1 di Litar Antarabangsa Sepang, Mac lalu, Fazli gagal menempatkan dirinya dalam kelompok 10 terbaik, namun ia langsung tidak menjejaskan semangatnya untuk kembali menguasai litar.

Hari ini, dia kembali membuktikan sengatnya untuk berada dalam kelompok juara.

Fazli dianggap sebagai pelumba yang tidak mudah menyerah kalah dan dia sentiasa berusaha untuk melakukan yang terbaik dalam setiap penampilannya.

Pada Perlumbaan 1 semalam, dia sekadar menduduki tempat ke-18, namun kekalahan itu telah mencetuskan semangat baharu buatnya untuk lebih bijak mengawal perlumbaan.

Malah, katanya, usaha-usaha yang dilakukan oleh krew pasukan terhadap jenteranya juga banyak memainkan peranan atas kejayaan hari ini.

“Kemenangan ini sangat bermakna buat saya. Ini merupakan kemenangan pertama buat saya dan pasukan dalam kelas Underbone musim ini.

“Saya berdoa agar momentum kemenangan ini akan terus menyebelahi kami pada pusingan akan datang. Saya berasa bangga kerana Buriram telah menjadi medan buat kami untuk memulakan langkah mencipta kegemilangan,” jelas Fazli.

Pada perlumbaan enam pusingan itu, Fazli mencatat masa keseluruhan 12:20.355s dengan kelajuan maksimum 173.4 kilometer sejam.

Dua pencabarnya dari Indonesia, Wawan Wello (SND Factory Racing Rapido) dan Wahyu Nugroho (Yamaha Racing Indonesia) masing-masing menduduki tempat kedua dengan catatan masa 12:20.769s dan 12:21.222s.

Kemenangan tersebut membolehkan Fazli meraih 25 mata pertama untuk saingan musim ini.

Juara Perlumbaan 1 semalam, Md Akid Aziz (UMA Racing Yamaha Maju Motot Asia Team) kurang menyerlah hari ini dan dia sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-14 dengan masa keseluruhan 12:35.702s.

Pendahulu keseluruhan kategori pemandi bagi kelas UB15, McKinley Kyle Paz (UMA Racing Yamaha Philippine Racing Team) berada di tempat ke-11 untuk meraih 5 mata.

Begitupun, dia kekal menerajui kedudukan keseluruhan dengan 56 mata.

Sementara itu, kekecewaan jelas terbayang pada wajah jaguh Thailand, Muklada Sarapuech yang gagal menamatkan Perlumbaan 2 kelas AP250.

Dia terpaksa menarik diri selepas  mengharungi dua lap gara-gara hampir hilang kawalan terhadap jenteranya.

Begitupun dia kekal memegang status selaku pendahulu keseluruhan dengan 86 mata.

Ketiadaan jaguh pasukan A.P. HONDA Racing Thailand itu telah membuka ruang kepada rakan sepasukannya, Tatchakorn Buasri untuk muncul juara Perlumbaan 2 itu dengan catatan masa keseluruhan 19:04.262s.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing milik pelumba Indonesia, Awhin Sanjaya (ASTRA Honda Racing Team) dan Muhammad Faerozi Toreqottullah (Yamaha Racing Indonesia).

Pelumba Malaysia masih belum memperlihatkan taring mereka dalam kelas AP250 ini dan pencapaian terbaik adalah menerusi pelumba ONEXOX TKKR SAG Racing Team, Md Muzakkir Mohamad yang menamatkan saingan di tempat ke-11.

 

INFO

Keputusan Perlumbaan 2 UB150 (5 teratas)

Ahmad Fazli Shah (MAS) ONEXOX TKKR SAG Racing Team- 12:20.355s

Wawan Wello (INA) SND Factory Racing Rapido- 12:20.769s

Wahyu Nugroho (INA) Yamaha Racing Indonesia – 12:20.955ss

Wahyu Aji Trilaksana (INA) ONEXOX TKKR SAG Racing Team – 12:21.222s

Richard Richie Taroreh (INA) Pro-Liner 549 KABOCI Racing Team – 12:21.426s

 

Kedudukan keseluruhan pelumba

Underbone 150 (5 teratas)

McKinley Kyle Paz (PHI) UMA Racing Yamaha Philippines Team – 56

Wawan Wello (INA) SND Factory Racing Rapido – 51

Md Affendi Rosli (MAS) Team One For All (Yamaha) – 44

Md Akid Aziz (MAS) UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team – 44

Fernando Masato (PHI) UMA Racing Yamaha Philippines Team – 36

Richard Richie Taroreh (INA) Pro-Liner 549 KABOCI Racing Team – 36

 

Keputusan Perlumbaan 2 AP250 (5 teratas)

Tatchakorn Buasri (THA) A.P. HONDA Racing Thailand – 19:04.262s

Ahwin Sanjaya (INA) ASTRA Honda Racing Team – 19:04.572s

Muhammad Faerozi Toreqottullah (INA) Yamaha Racing Indonesia – 19:04.829s

Irfan Ardiansyah (INA) ASTRA Honda Racing Team – 19:04.902s

Andy Muhammad Fadly (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing- 19:04.913s

 

Kedudukan keseluruhan pelumba AP250

Muklada Sarapuech (THA) A.P. HONDA Racing Thailand – 86 mata

Andy Muhammad Fadly (INA) Manual Tech KYT KAWASAKI Racing – 86

Aiki Iyoshi (JPN) Manual Tech KYT Kawasaki Racing – 78

Tatchakorn Buasri (THA) A.P. HONDA Racing Thailand -74

Irfan Ardiansyah (INA) ASTRA HONDA Racing Team – 64