Pusingan 10 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 menutup tirai di Bandar Medini Iskandar, Iskandar Puteri, Johor dengan persembahan mendebarkan bagi kategori CP150. Nazirul Izzat Md Bahauddin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR muncul pemenang perlumbaan, menamatkan musim dengan gaya selepas menunjukkan kebangkitan hebat, manakala Ahmad Afif Amran dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING kekal sebagai juara keseluruhan CP150, gelaran yang telah disahkan sejak Pusingan 8.
Perlumbaan bermula dengan Afif memecut laju ke hadapan untuk memimpin, diikuti rapat oleh Nazirul. Rakan sepasukan Afif, Md Akid Aziz, berada di kedudukan ketiga, sementara Kasma Daniel Kasmayudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR dan Md Faiz Zekri Sabri dari ATAS AHM MOTOR SPORTS mengisi tempat keempat dan kelima.
Seawal pusingan ketiga, Nazirul memintas Afif untuk mengetuai perlumbaan, dengan Akid tidak ketinggalan mengejar. Persaingan sengit berlaku apabila Akid dan Nazirul saling memintas, enggan memberi ruang antara satu sama lain, sementara Afif turun ke kedudukan ketiga sebelum dipintas oleh Kasma pada lap kelapan. Ketegangan terus memuncak apabila Kasma terjatuh pada lap ke-10, terlepas peluang untuk mengejar kedudukan teratas.
Perlumbaan memasuki fasa genting apabila Afif kembali memintas Nazirul pada lap ke-12, diikuti Akid di kedudukan ketiga dan Fareez di keempat. Pusingan demi pusingan menyaksikan pertarungan sengit dengan pintasan demi pintasan, di mana kedudukan tiga pelumba teratas – Nazirul, Afif dan Akid – kekal rapat sehingga garisan penamat.
Akhirnya, Nazirul muncul pemenang dengan catatan masa 14’37.880s, menonjolkan kebolehan luar biasa selepas kembali dari kecederaan patah kedua-dua tulang selangka. Akid berada di tempat kedua dengan 14’38.019s, manakala Afif menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan 14’38.069s.
“Musim 2025 sangat mencabar bagi saya, penuh dengan momen sukar dan perjuangan untuk mencari kemenangan. Namun, kembali daripada kecederaan patah kedua-dua tulang selangka, saya tidak sangka dapat memenangi perlumbaan pertama saya! Menamatkan musim dengan kemenangan manis ini benar-benar bermakna. Ini simbol bahawa segala usaha, kesabaran dan semangat tidak pernah sia-sia.”
Secara keseluruhan musim ini, Afif menjulang juara keseluruhan CP150 telah disahkan lebih awal pada pusingan 8 dengan 214 mata, diikuti Kasma dengan 152 mata dan Akid di tempat ketiga dengan 141 mata.
TOP 5 FASTEST – RACE
- NAZIRUL IZZAT MD BAHAUDDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (14’37.880s)
- MD AKID AZIZ – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (14’38.019s)
- AHMAD AFIF AMRAN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (14’38.069s)
- MD FAIZ ZEKRI SABRI – ATAS AHM MOTOR SPORTS (14’40.635s)
- MD FAREEZ AFEEZ ABD RAHMAN – JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM (14’40.766s)
TOP 5 – OVERALL RIDER STANDINGS
- AHMAD AFIF AMRAN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (214 points)
- KASMA DANIEL KASMAYUDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (152 points)
- MD AKID AZIZ – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (141 points)
- AZROY HAKEEM ANUAR – HONDA ESTREMO YUZY RACING (115 points)
- NAZIRUL IZZAT MD BAHAUDDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (105 points)
TOP 5 – OVERALL TEAM STANDINGS
- PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (364 points)
- PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (308 points)
- HONDA ESTREMO YUZY RACING (198 points)
- MAEZTRO SCK HONDA RACING TEAM (139 points)
- JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM (98 points)

