Pusingan 10 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 di Bandar Medini Iskandar, Iskandar Puteri, Johor menyaksikan Md Khairi Asyraf Mahmood dari JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM mempamerkan prestasi cemerlang untuk menamatkan perlumbaan CP125 di tempat pertama, sementara Md Izam Ikmal Izamli dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING selamat mengesahkan gelaran Juara Keseluruhan CP125 musim 2025.
Perlumbaan bermula dengan Khairi memulakan langkah baik, tetapi Md Adie Putra Sukarno dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR berjaya mengambil alih kedudukan di selekoh pertama. Di belakang mereka, Arash Tsunami Kamarudin dari ATAS AHM MOTOR SPORTS berada di tempat ketiga, diikuti Md Farid Hakimi Farid Sezli dan Md Syamil Amsyar Md Iffende, kedua-duanya dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING.
Sepanjang perlumbaan, Khairi menunjukkan konsistensi yang mantap, memintas Adie pada pusingan kedua dan mengekalkan penguasaan kumpulan depan sehingga garisan penamat. Dia menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 11’23.690s, meninggalkan Farid di tempat kedua dengan 11’24.273s, dan Arash di tempat ketiga dengan 11’25.332s.
Khairi berkata, “Alhamdulillah! Kemenangan hari ini benar-benar manis. Selepas berjuang keras sepanjang perlumbaan, usaha, fokus dan semangat tidak pernah mengkhianati. Terima kasih kepada pasukan, penyokong dan semua yang sentiasa memberi dorongan. Ini adalah hasil kerja keras kita bersama!”
Pendahulu kejuaraan, Izam, memulakan perlumbaan dari kedudukan lebih jauh di belakang, mengambil langkah berhati-hati kerana hanya memerlukan satu mata untuk menobatkan dirinya sebagai juara keseluruhan. Dengan strategi bijak, Izam berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh dan meraikan gelaran juara keseluruhan dengan selamat.
Izam berkongsi, “Musim ini sangat sengit. Pada awalnya saya menjangkakan Syamil akan menjadi pesaing utama, dan saya tidak jangka dapat konsisten di awal musim. Walaupun prestasi saya turun naik, saya berjaya bangkit pada beberapa perlumbaan terakhir. Perlumbaan tadi memang sangat sengit, saya hampir jatuh, tapi saya terus fokus dan berjaya memintas Syamil. Akhirnya, saya menguasai CP125 keseluruhan. Terima kasih kepada semua penyokong dan tahniah juga kepada pasukan-pasukan lain. Jom kita lawan lagi musim akan datang.”
TOP 5 FASTEST – RACE
- MD KHAIRI ASYRAF MAHMOOD – JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM (11’23.690s)
- MD FARID HAKIMI FARID SEZLI – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (11’24.273s)
- ARASH TSUNAMI KAMARUDIN – ATAS AHM MOTOR SPORTS (11’25.332s)
- MD FARISH IQMAL KHAYRUL ELYAS – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (11’32.609s)
- ADIB HAREEZ HAZWAT – MAEZTRO SCK HONDA RACING TEAM (11’32.848s)
TOP 5 – OVERALL RIDER STANDINGS
- MD IZAM IKMAL IZAMLI – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (164 points)
- MD SYAMIL AMSYAR MD IFFENDE – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (139 points)
- ARASH TSUNAMI KAMARUDIN – ATAS AHM MOTOR SPORTS (119 points)
- MD IDLAN HAQIMI RADUAN – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (114 points)
- MD FARID HAKIMI FARID SEZLI – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (100 points)
TOP 5 – OVERALL TEAM STANDINGS
- PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (282 points)
- PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (235 points)
- ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (189 points)
- PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (132 points)
- JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM (123 points)

