Dalam kategori WIRA KBS bagi PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025, satu nama menonjol sebagai simbol ketabahan dan semangat juang, Md Akif Abdullah dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM, Juara Keseluruhan musim 2025.
Perjalanan Akif ke puncak bukan mudah. Kariernya bermula pada usia 9 tahun bermain pocket bike secara suka-suka, sebelum diberi peluang berlumba di pentas antarabangsa. Namun, pada usia 11 tahun, sebuah kemalangan serius yang mengakibatkan patah tangan memaksa Akif terlepas peluang ke platform pembangunan bakat Asia dan perlumbaan di Sepanyol. Kekecewaan itu hampir mematahkan semangatnya untuk kembali berlumba.
Namun, minat dan semangatnya dalam dunia perlumbaan terlalu mendalam untuk dipadamkan. Pada 2023, Akif menyertai PETRONAS Malaysian Cub Prix dalam kategori Honda Dash 125 Challenge. Walaupun terlepas pusingan pertama, beliau bangkit dengan azam tinggi, berjanji kepada keluarga bahawa baki pusingan akan dimenanginya. Dengan kepercayaan pengurus pasukan Boon Siew Honda Motorsports, Akif membuktikan dirinya dan menamatkan musim sebagai juara keseluruhan, membina semula keyakinan dan membuka jalan untuk masa depan yang lebih cerah.
Musim 2024 menyaksikan Akif bersaing dalam kategori WIRA KBS bersama pasukannya HONDA WAVE ALPHA KC RACING, menamatkan musim di tempat kedua, hanya 4 mata di belakang Farres Putra Md Fadhil dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING. Pengalaman itu membentuk Akif menjadi lebih matang, memahami bahawa kekalahan bukan pengakhiran tetapi batu loncatan untuk menjadi lebih baik.
Musim 2025 membawa cabaran yang serupa, dengan persaingan sengit bersama Farres sekali lagi. Tetapi kali ini, Akif mengekalkan ketenangan, fokus, dan strategi. Keazaman dan kesabarannya membuahkan hasil, akhirnya menobatkannya sebagai Juara Keseluruhan WIRA KBS 2025.
Dengan semangat, disiplin, dan pengalaman yang dimiliki, Akif berpotensi untuk terus mengekalkan momentum ini dan melakar lebih banyak kejayaan dalam arena perlumbaan. Masa depan Md Akif Abdullah jelas cerah, dan setiap perlumbaan adalah langkah menuju legasi yang lebih gemilang.
Apakah Akif akan dapat teruskan momentum ini? Teruskan mengikut perkembangan seterusnya.

