Pusingan ketujuh Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix bermula hari ini di Litar Permotoran Terengganu. Md Khairi Ashraf dari pasukan Jetron Yamaha YYPang Racing Team mencatatkan masa terpantas di sesi kelayakan.
Di sesi latihan bebas 1 yang berlangsung pada waktu pagi ini, Shafiq Ezzariq dari Jetron Yamaha YYPang Racing Team mencatatkan masa terpantas pada 50’923s diikuti oleh rakan sepasukannya Khairi Ashraf dengan catatan masa terpantas beliau pada 51’400 dan Adam Haikal dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing dengan catatan masa pada 51’595s. Di sesi latihan bebas 2, Shafiq Ezzariq sekali lagi mencatatkan masa terpantas pada 50’961s diikuti oleh rakan sepasukannya Fareez dengan catatan masa pada 51’073s. Di tempat ketiga terpantas adalah Syafiq Rosli dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor dengan catatan masa 51’334s.
Di sesi kelayakan petang tadi, ketiga-tiga pelumba pasukan Jetron Yamaha YYPang Racing Team berjaya menyapu ketiga-tiga kedudukan terpantas. Khairi Ashraf mencatatkan masa terpantas pada 50’784s. Di pusingan kelima yang berlangsung di litar ini, Khairi mencatatkan masa terpantas beliau pada 51’467s. Pelumba Johor ini yang kini menduduki tempat teratas secara keseluruhan telah tampil dengan aksi yang hebat sepanjang musim ini. Di perlumbaan akhir pusingan kelima, Khairi juga telah berjaya meraih kejayaan di litar ini.
Menurut Khairi, “Kali ini, saya berjaya mencatatkan masa yang lebih baik berbanding dengan pusingan kelima di litar ini. Rakan-rakan sepasukan saya tidak kurang hebat di litar ini dan esok sudah pasti lebih mencabar bagi kami. Walau bagaimanapun, kami akan buat yang terbaik di sesi “Shoot-Out” nanti dan berharap untuk mendapat kedudukan di barisan pertama.” Tempat kedua terpantas di ambil oleh Shafiq Ezzariq dengan catatan masa terpantas beliau pada 50’934s diikuti oleh Fareez Afeez di tempat ketiga terpantas dengan catatan masa terpantas pada 51’019s.
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook