fbpx

ADIB HEBAT DI LITAR TERENGGANU


Pusingan ketujuh Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix berlangsung hari ini di Litar Permotoran Terengganu. Md Adib Hareez dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing mencatatkan masa terpantas di sesi kelayakan bagi kategori Wira KBS.

Di sesi latihan bebas 1 yang berlangsung pagi tadi, Amirun Haziq dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing mencatatkan masa terpantas pada 52’853s. Di tempat kedua terpantas adalah Farish Iqmal dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing dengan catatan masa terpantas pada 53’205s. Iman Fahmi dari pasukan Tekhne Yamaha mencatatkan masa ketiga terpantas pada 53’325s. Di sesi kelayakan 2 pula, Adib Hareez dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing mencatatkan masa terpantas pada 52’706s diikuti oleh rakan sepasukannya Farish Iqmal dengan catatan masa terpantas pada 52’949s. Di tempat ketiga terpantas adalah Ahmad Iqram Danish dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing dengan catatan masa terpantasnya pada 53’020s.

Di sesi kelayakan yang berlangsung pada waktu petang tadi, Adib Hareez sekali lagi muncul dengan catatan masa terpantas pada 52’420s. Ini akan memberikan beliau kelebihan untuk perlumbaan akhir yang akan berlangsung esok. Pada pusingan kelima yang telah berlangsung di litar ini, Adib hanya mendapat tempat keempat terpantas di sesi kelayakan dengan catatan masa 53’104s. Hari ini, beliau telah tampil dengan masa yang lebih baik.

Menurut Adib, “Pada sesi kelayakan tadi, saya memang tidak jangka akan mendapat catatan masa terpantas lebih-lebih lagi dengan rakan sepasukan saya yang agak pantas. Tetapi, esok adalah hari yang penting. Saya berharap dapat meneruskan kejayaan ini untuk perlumbaan esok.”

Di tempat kedua terpantas adalah rakan sepasukannya Farish Iqmal dengan catatan masa terpantas beliau pada 52’654s.

Emil Idzhar dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing mencatatkan masa ketiga terpantas pada 52’660s.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook

, , ,