fbpx

Modenas Elegan 250 Tawar Gaya

Tentunya ramai yang mengenali nama Elegan iaitu skuter popular keluaran Modenas yang dijenamakan semula dari model SYM, syarikat skuter Taiwan yang digunakan oleh Modenas untuk menghasilkan Elegan. Kepopularitian Elegan ini juga telah menaikkan nama SYM yang kini membawa masuk model mereka sendiri termasuklah model popular mereka, SYM VTS 200. Usaha Modenas untuk menambat hati peminat Elegan generasi pertama dengan penawaran Modenas Elegan 200 juga kurang berjaya, dan salah satu sebab ia lah kerana saiznya yang lebih kecil dari VTS, dan membuatkan ia nya kelihatan kurang gah.

Kini Modenas mengalihkan perhatian dan kekuatan mereka untuk berkerjasama dengan pembuat skuter nombor satu Taiwan iaitu Kymco, yang juga merupakan antara pembuat skuter terbaik di dunia. Untuk rekod Kymco juga telah menjalinkan erjasama dengan beberapa nama besar lain untuk menghasilkan skuter mereka seperti BMW dengan siri C650nya dan juga Kawasaki dengan model J300.

Dengan kerjasama ini Modenas kini menawarkan Modenas Elegan 250 yang ketara lebih besar saiznya. Modenas 250 ini diasaskan kepada Kymco X-Town 300 cc tetapi telah dipasang enjin 250 cc yang lebih sesuai untuk pasaran tempatan dan juga perlesenan penunggang. Model 250 cc yang terhasil ini khusus untuk Modenas Elegan sahaja dan tidak terdapat di tempat lain.

Persoalan yang sering diutarakan oleh bakal pemilik apabila berhadapan dengan model pemasangan tempatan adalah dari segi kualiti. Ini adalah kerana pada satu ketika dahulu terdapat lambakan motosikal ‘pemasangan tempatan’ yang berharga rendah telah melanda negara kita dan kemudiannya mengecewakan pengguna dari segi kualiti pemasangan dan ketahanan jangka panjang. Kekemasan pemasangan dapat dinilai ketika melalui jalan yang berlopak atau berlubang denagn meneliti samada terdapat kelonggaran bahagian panel badan yang tentunya akan mengeluarkan bunyi yang kurang selesa di dengar. Nyata model ini diperhatikan tidaklah mengecewakan dari segi kualiti pemasangannya mahupun bahan yang digunakan. Model terbaharu Elegan jelas lebih berkualiti jikan dibandingkan dengan model terdahulu dari SYM, dari rekabentuk panel meter hinggalah ke plastik pelindung yang melitupi keseluruhan badannya.

Elegan 250 baharu ini dikuasakan olehsebuah enjin berselinder tunggal sejukan cecair 4-lejang, dua injap SOHC dengan sesaran 249 cc. ia nya disuap oleh sistem suntikan EFI dan mampu menjana 22.1 hp pada 7,000 rpm dan menghasilkan daya kilas atau tork sebanyak 22.4 Nm pada 6,500 rpm. Seperti lazimnya skuter lain yang sama jenisnya iaitu kilas-dan-jalan, kesemua kuasa itu disalurkan melalui transmisi CVT yang dipacu talisawat.

penghidupan enjin nyata mudah setiap pagi, dan tunggangan santai dengan kelajuan enjin rendah juga selesa dan menjanjikan pecutan yang mencukupi. Kilasan pantas pendikit walaubaimanapun akan berhadapan dengan kenaikan rpm enjin dan juga peningkatan kelajuan yang sedikit sebu sebelum momentum kelajuan skuter besar ini ditingkatkan. Mungkin kerana saiz dan beratnya lah maka model asalnya menggunakan enjin 300 cc berbanding 250 cc yang digunakan Modenas.

Panel meter Elegan ini memaparkan panel LCD dan bertanahkan warna hitam dan sarat dengan maklumat seperti suhu enjin, jam, tolok bahanapi, meter perjalanan dan juga voltan baternya.

Elegan 250 ini memang besar seolah seperti sebuah maxi-skuter, namun mudah dikendalikan. Pelananya juga sedikit lebar dan ini mungkin membuatkan celapak anda sedikit terbuka dan anda tidak mampu bertapak sepenuhnya ketika berhenti di hentian lampu isyarat. Saiznya juga mungkin akan sedikit menyukarkan untuk dikendalikan di jalanraya sesak, yang mungkin tidakkan begitu terasa bagi pengguna VTS200 tetapi akan dialami oleh pengguna Elegan terdahulu yang lebih tirus dan pendek.

Pengendaliannya di lauan berbukit dan berselekoh tidaklah mengecewakan, dan suspensinya didapati mampu menangani kehendak pengendalian mantap sewaktu membelok tanpa rasa meliut.

Satu lagi kelebihan Elegan baharu ini adalah ruang barangan di bawah pelananya yang luas, dan dilengkapi tupang penyokong ketika dibuka dan juga lampu yang akan menyala secara automatik ketika hari gelap. Ruangan dibawah pelana ini cukup besar untuk memuatkan dua buah topi keledar terbuka (open face) bersaiz standard. Cara membuka ruang simpanan ini adalah sama seperti Elegan lama iaitu menggunakan operasi kunci pada kunci utama. Operasi kunci ini juga diperlukan bagi membuka penutup corong pengisian tangki bahanapi 12.5 liternya yang terletak di tengah skuter ini. Tidak seperti Elegan lama ia nya tidak berplatfom rata, jadi agak sukar untuk membawa tong gas memasak seperti yang boleh anda lakukan dengan skuter dengan platfom rata seperti elegan dan Vespa.

Terdapat juga ruangan bertutup untuk simpanan barangan kecil di panel hadapan sebelah kiri. Ruangan ini boleh ditutup dan mempunyai soket USB di dalamnya untuk membudahkan anda mengecas telefon bimbit anda, walaupun lebih dinasihatkan agar anda hanya mengecas bank kuasa (power bank) di situ agar mengelakkan kerosakan telefon bimbit disebabkan gegaran ketika bergerak.

Pelana jenis bertingkat Elegan 250 ini agak lembut, malah mungkin terlalu lembut sedikit memandangkan anda seperti akan terasa pelapik keras di bawahnya jika menunggnag lebih dari se jam setengah. Malah air juga akan terkumpul di situ jika mengharung hujan, maka adalah penting untuk anda sentiasa membawa seluar hujan ketika menunggangnya.

Roda hadapan bersaiz 14-inci yang dipasangkan dengan tayar 13-inci di belakang. Kedua dua rodanya dihentikan dengan apitan angkup ke cakera. Namun begitu pilihan brek anti kunci ABS tidak disediakan.

Skrin penghadang angin di hadapan cukup besar dan tinggi untuk mengalihkan aliran air hujan renyai. Di bawah skrin penghadang ini, suluhan dari lampu hadapan berkembar dengan mentol bersaiz H4 untuk Elegan 250 ini memuaskan dalam tunggangan malam hari dengan sebaran cahayanya yang sekata dan lebar. Kluster lampunya juga memaparkan lampu siang DRL yang menambahkan kenampakan anda kepada pengguna jalanraya yang lain di waktu siang hari. Lampu belakangnya pula adalah dari jenis LED dan memaparkan bentuk X.

Secara keseluruhannya dengah harga jualan sebanyak RM12,830 (tidak termasuk kos pendaftaran dan insurans) ia nya merupakan satu pilihan skuter yang perlu dipertimbangkan oleh mereka yang menginginkan sebuah pengangkutan komuter yang praktikal, berkualiti dan menarik untuk ke tempat kerja mahupun untuk pengembaraan luar daerah di hujung minggu.