fbpx
Ahmad Afif Amran yakin berada di landasan tepat setelah menjuarai pusingan pertama dan kedua untuk menebus kekecewaan musim lalu

MISI TEBUS KECEWA 2021

Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing, Ahmad Afif Amran yakin berada di landasan tepat setelah menjuarai pusingan pertama dan kedua. Misinya adalah untuk menebus kekecewaan yang dirasainya setelah gagal bergelar juara pada musim 2021.

Menurut Afif, “Sasaran saya sememangnya untuk melakar kemenangan hatrik menerusi pusingan ketiga. Namun demikian, saya lebih fokus untuk membawa pulang sebanyak mungkin mata berharga dari setiap pusingan dan sebolehnya untuk menamatkan semua perlumbaan pada musim ini. Jika saya mempunyai peluang untuk ke depan, sudah tentu saya akan ke depan.”

Pada musim lalu, juara saingan CP150 bagi tahun 2018 dan 2019 ini terpaksa akur di tempat kedua setelah gagal menamatkan perlumbaannya. Afif yang kekurangan 5 mata berbanding dengan pesaingnya, Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Idemitsu, gagal meraih gelaran Juara CP150 musim 2021.

Justeru itu, misi Afif pada musim ini adalah untuk menamatkan kesemua perlumbaannya dengan harapan tiada masalah teknikal agar gelaran juara jatuh ke tangannya.

Bagi Afif, Litar Sepang dijangka lebih mencabar disebabkan oleh struktur trek yang lebih panjang dan luas.

“Sesiapa sahaja boleh memenangi pusingan ini,” katanya.

“Saya perlu kurangkan berat badan saya. Itu adalah suatu aspek yang perlu saya berikan tumpuan. Jika badan saya lebih ringan, jentera saya akan lebih laju. Litar Sepang yang Panjang sudah pasti memerlukan kelajuan yang tinggi berbanding dengan litar-litar lain. Jadi, berat badan saya juga memainkan peranan yang penting,” ujar Afif ketika memberikan ulasan mengenai persiapan pusingan ketiga.

Turut menambah, “Pasukan Honda mungkin akan menjadi pencabar utama bagi pusingan ini kerana litar sepanjang 2.61km itu menjadi kelebihan bagi pelumba-pelumba jentera Honda dari segi kelajuan.”

Afif tetap akan memberikan serratus peratus dalam saingan yang dijadualkan yang bakal berlangsung pada 11 dan 12 Jun 2022.

Afif telah memulakan kempen musim 2022 Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix dengan langkah kanan apabila menjuarai dua pusingan CP150 dengan catatan masa 14’32.412s dan 14’36:498s masing-masing dan akan meneruskan semangatnya untuk meraih gelaran Juara musim 2022.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook