LONJAKAN FARRES GEGAR SAINGAN

Pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING, Farres Putra Mohd Fadhil mempamerkan kebangkitan luar biasa apabila muncul pelumba terpantas keseluruhan kategori CP150 selepas mencatat masa terpantas 46.492s pada sesi Kelayakan 2 Kumpulan B sempena Pusingan 3 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan hari ini.

Selepas sekadar berada di kedudukan keempat pada sesi Latihan Bebas dengan catatan masa 47.154s dan meningkat ke tangga ketiga dalam Kelayakan 1 pada 47.162s, Farres melakukan lonjakan besar pada sesi penentuan terakhir untuk muncul satu-satunya pelumba yang mencatat masa di bawah 46.5 saat, sekali gus mengatasi kelompok pencabar utama untuk berada di kedudukan teratas.

Turut mengesahkan status sebagai pencabar utama ialah Kasma Daniel Kasmayudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR yang menamatkan Kelayakan Keseluruhan di tempat kedua menerusi catatan 46.719s. Kasma mengekalkan prestasi konsisten sepanjang hari selepas mendominasi Latihan Bebas Kumpulan B dengan masa 46.751s sebelum muncul terpantas dalam Kelayakan 1 pada 46.881s.

Ahmad Darwisy Ahmad Sahir dari HONDA CASTROL POWER 1 YUZY RACING pula melengkapkan kelompok tiga terpantas keseluruhan dengan masa 46.732s, hasil peningkatan memberangsangkan daripada tempat ketiga sesi Latihan Bebas kepada prestasi lebih kompetitif pada sesi penentuan terakhir.

Sementara itu, Azroy Hakeem Anuar dari HONDA CASTROL POWER 1 YUZY RACING yang menguasai keseluruhan aksi Kumpulan A terpaksa berpuas hati di kedudukan keempat keseluruhan. Azroy mendahului Latihan Bebas dengan catatan masa 46.868s, Kelayakan 1 dengan 46.896s, dan Kelayakan 2 pada 46.802s dalam kumpulannya, namun catatan tersebut masih belum cukup untuk menandingi kepantasan luar biasa yang dipamerkan Farres dalam Kumpulan B.

Md Helmi Azman daripada TAB SPORTS SCK HONDA RACING pula melengkapkan kelompok lima terpantas keseluruhan dengan masa 46.848s selepas menampilkan persembahan konsisten dalam setiap sesi.

Di sebalik perebutan lima terbaik, beberapa nama lain turut menunjukkan peningkatan positif termasuk Ahmad Afif Amran dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING yang melonjak ke tangga kedua Kelayakan 2 ( Kumpulan A) dengan 46.854s, hanya 0.052s di belakang Azroy. Manakala Md Irfan Haykhal Amidi , Md Izam Ikmal Izamli dan Md Idil Fitri Mahadi turut membuktikan mereka mampu memberi saingan sengit dalam aksi perlumbaan.

Farres berkongsi, “Alhamdulillah, syukur dapat muncul sebagai pelumba terpantas dalam sesi Kelayakan 2 hari ini. Keputusan ini bukan hasil usaha saya seorang, tetapi buah daripada kerja keras seluruh pasukan yang sentiasa memberikan yang terbaik. Tanpa komitmen dan kerjasama mereka, mustahil kami mampu mencapai keputusan seperti ini. Namun tugas kami masih belum selesai. InsyaAllah, kami akan terus bekerja lebih keras dan memberikan sepenuh fokus pada perlumbaan esok dengan sasaran untuk meraih keputusan terbaik buat pasukan serta mengutip mata penting bagi musim ini.”

TOP 5 FASTEST – COMBINED QUALIFYING
1. FARRES PUTRA MOHD FADHIL – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (46.492s)
2. KASMA DANIEL KASMAYUDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (46.719s)
3. AHMAD DARWISY AHMAD SAHIR – HONDA CASTROL POWER 1 YUZY RACING (46.732s)
4. AZROY HAKEEM ANUAR – HONDA CASTROL POWER 1 YUZY RACING (46.802s)
5. MD HELMI AZMAN – TAB SPORTS SCK HONDA RACING (46.848s)