KHAIRI PIMPIN BURUAN POLE

Pada sesi Kelayakan Pusingan 3 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan, hari ini, Md Khairi Asyraf Mahmood dari IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM mempamerkan aksi penuh dominan sekali gus muncul sebagai pelumba terpantas keseluruhan kategori CP125.

Khairi mencatat masa terbaik 47.497s dalam Kelayakan Kumpulan B, menjadi satu-satunya pelumba yang berada dalam julat 47.4 saat sepanjang sesi penentuan. Catatan tersebut hadir selepas peningkatan konsisten daripada sesi latihan bebas, di mana saingan kelihatan cukup rapat dalam kedua-dua kumpulan A dan B.

Khairi bermula sederhana pada awal hari apabila sekadar berada di kelompok pertengahan dalam Latihan Bebas 1 dengan catatan masa 48.456s, sebelum melonjak ke prestasi lebih kompetitif pada sesi Latihan Bebas 2 dengan masa 47.566s untuk mendahului Kumpulan B. Momentum tersebut diteruskan ke sesi Kelayakan apabila Khairi menampilkan masa terbaik untuk menguasai keseluruhan carta.

Di belakangnya, Md Adib Arsyad Mohd Hisam dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR menamatkan sesi sebagai pencabar terdekat di tempat kedua dengan 47.578s, hanya 0.081s di belakang Khairi. Pelumba itu turut konsisten sepanjang hari selepas menamatkan sesi Latihan Bebas 1 Kumpulan B di tempat kedua dan Latihan Bebas 2 Kumpulan B di kedudukan ketiga sebelum memperkukuhkan kedudukan dalam sesi kelayakan.

Adib Hareez Hazwat daripada TAB SPORTS SCK HONDA RACING pula melengkapkan kelompok tiga terpantas keseluruhan dengan 47.644s selepas mendahului Kumpulan A dalam sesi Kelayakan. Walaupun sedikit menurun daripada prestasi Latihan Bebas 2 yang lebih pantas, Adib kekal sebagai antara pencabar utama untuk perlumbaan.

Md Syamil Amsyar M Iffende dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING menamatkan sesi di tempat keempat dengan 47.659s, hanya 0.015s di belakang Adib, menjadikan persaingan di kelompok depan semakin sengit.

Sementara itu, Md Idlan Haqimi Raduan dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM melengkapkan lima terpantas keseluruhan dengan 47.810s selepas menunjukkan peningkatan ketara daripada sesi Latihan Bebas awal hari.

Khairi berkongsi, “Pada awal sesi Kelayakan tadi, saya mengambil sedikit masa untuk mencari rentak dan memahami keadaan trek terlebih dahulu sebelum mula mencatatkan masa yang lebih kompetitif. Selepas itu, saya mula meningkatkan pace secara berperingkat seperti yang telah dirancang. Trek ini sememangnya antara kegemaran saya, jadi saya lebih yakin dan selesa setiap kali berada di sini. InsyaAllah, saya akan memberikan yang terbaik pada sesi Shoot Out esok dan berusaha untuk mendapatkan kedudukan yang lebih baik buat pasukan,” katanya.

TOP 5 FASTEST – COMBINED QUALIFYING CP125
1. MD KHAIRI ASYRAF MAHMOOD – IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM (47.497s)
2. MD ADIB ARSYAD MOHD HISAM – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (47.578s)
3. ADIB HAREEZ HAZWAT – TAB SPORTS SCK HONDA RACING (47.644s)
4. MD SYAMIL AMSYAR M IFFENDE – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (47.659s)
5. MD IDLAN HAQIMI RADUAN – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (47.810s)