FAIRIL RAIH KEMENANGAN SULUNG

Md Fairil Hazmi Farid Sezli dari IGOL BROTHERS 7 TECH RACING menampilkan aksi penuh tenang dan matang untuk meraih kemenangan sulung kategori WIRA selepas mengharungi perlumbaan dramatik pada Pusingan 3 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan, hari ini.

Bermula dari petak utama, Fairil tidak mensia-siakan kelebihan itu apabila melakukan permulaan cemerlang untuk mendahului sebaik perlumbaan bermula. Raja Abdurraqib Raja Norfatihah dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING terus memberikan tekanan di kedudukan kedua, diikuti Md Darwish Amsyar M Ridzwan dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM, manakala Md Ikram Dani dari MBI SELANGOR MOTTOROY XLA berada di tempat keempat.

Memasuki pusingan kelima, kelompok pendahulu terus beraksi rapat apabila Adi Putra Anahar dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM dipintas Md Al-Syafiq M Al Amirul Zaki dari IGOL BROTHERS 7 TECH RACING untuk kedudukan kelima, sekali gus menjadikan perebutan kelompok hadapan semakin sengit.

Persaingan bertambah menarik pada pusingan ketujuh apabila Darwish berjaya memintas Fairil dan Abdurraqib untuk mengambil alih kedudukan pendahulu. Ikram kekal di tempat keempat, diikuti Adi, manakala Md Airel Ahmad Marzuki dari HONDA RS MEGATECH RACING TEAM mula menyertai kelompok hadapan selepas naik ke kedudukan keenam.

Namun, detik penentuan hadir pada pusingan kesembilan apabila Abdurraqib terjatuh di selekoh terakhir ketika bersaing di kelompok hadapan. Insiden itu membuka ruang buat Fairil kembali merampas kedudukan pertama, sementara Nuzzul Ady Muhammad Sudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING mencipta kebangkitan luar biasa apabila melonjak daripada petak grid ke-20 ke tempat kedua. Darwish kini berada di tempat ketiga diikuti Adi, Ikram dan Al-Syafiq.

Memasuki dua pusingan terakhir, Fairil mengekalkan rentak konsisten walaupun terus diasak Ady dan Darwish. Pelumba IGOL BROTHERS 7 TECH RACING itu tidak melakukan sebarang kesilapan untuk melintasi garisan penamat sebagai juara dengan masa keseluruhan 9’49.470s. Ady menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan 9’51.705s, manakala Darwish melengkapkan kedudukan podium pada 9’51.989s. Adi menamatkan perlumbaan di tempat keempat, diikuti Ikram di kedudukan kelima.

Fairil berkata, “Alhamdulillah, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh pasukan, semua kru, terutamanya pengurus pasukan yang sentiasa bekerja keras dan tidak pernah berhenti memberikan sokongan kepada saya. Sebelum perlumbaan bermula, perancangan saya adalah untuk memecut sehabis mungkin sejak awal lagi dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kelajuan sendiri. Jika berpeluang, saya mahu membina jurang dengan pelumba-pelumba lain secepat mungkin. Namun, ketika berada di atas litar, terdapat beberapa bahagian yang masih mempunyai kesan minyak sehingga saya tidak dapat mengambil garisan perlumbaan seperti yang dirancang. Jadi, saya terpaksa menyesuaikan tunggangan mengikut keadaan dan memberi fokus kepada perlumbaan saya sendiri. Syukur, segala usaha kami akhirnya membuahkan hasil dan rezeki kemenangan ini berpihak kepada saya. Kemenangan ini adalah milik seluruh pasukan yang telah berjuang bersama saya dari awal hingga akhir.”

TOP 5 FASTEST – RACE
1. MD FAIRIL HAZMI FARID SEZLI – IGOL BROTHERS 7 TECH RACING (9’49.470s)
2. NUZZUL ADY MUHAMMAD SUDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (9’51.705s)
3. MD DARWISH AMSYAR M RIDZWAN – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (9’51.989s)
4. ADI PUTRA ANAHAR – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (9’53.410s)
5. MD IKRAM DANI – MBI SELANGOR MOTTOROY XLA (9’56.827s)