Pusingan kelima Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix akan membawa semangat kejuaraan ke Litar Permotoran Terengganu dan akan berlangsung pada hujung minggu ini. Raiyan Khardanee Md Sanusi dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing akan kembali untuk meneruskan semangat kemenangannya.
Raiyan telah menyambut kemenangan pertamanya bagi musim ini di pusingan keempat yang telah berlangsung di Litar Sepang Selatan. Mengimbas carta keputusan, jelas kelihatan Raiyan agak selesa dengan gaya tungganggan di litar kelajuaan tinggi berbanding dengan litar teknikal. Di pusingan pertama yang berlangsung di Litar Sepang Utara, beliau telah meraih tempat kedua di atas podium. Dengan kelebihan tersebut, beliau kini menduduki tempat keempat secara keseluruhan.
Pada musim lepas, beliau telah beraksi di kategori PETRONAS Yamaha Super Series dan kategori AEON Credit Service Yamaha NVX Challenge. Bagi pusingan keempat yang berlangsung di litar Terengganu, beliau mendapat tempat keempat dan di pusingan ketujuh, Raiyan menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan bagi kategori PETRONAS Yamaha Super Series. Sepanjang musim tersebut juga, beliau sempat menaiki podium di tempat kedua bagi perlumbaan yang berlangsung di Litar Sepang Selatan.
Menurut Raiyan, “Selekoh kelajuan tinggi dan laluan lurus adalah kegemaran saya. Dengan bantuan mekanik dalam “settings suspension” serta pengendalian jentera saya dalam keadaan yang baik hari itu telah membuahkan hasil bagi saya dengan suatu kemenangan di pusingan keempat. Bagi saya, litar teknikal adalah kecil dan berpagar. Memang susah bagi saya tetapi saya akan terus mencabar diri saya untuk memenangi perlumbaan di litar teknikal pula.”
“Untuk pusingan yang akan datang, saya lebihkan latihan “fitness” untuk membina kecergasan fizikal saya. Latihan ini dilakukan setiap hari dengan pemantauan ketua pasukan. Setiap hujung minggu, saya buat latihan di litar mini di Maran iaitu suatu litar yang teknikal. Untuk jentera pula, pasukan saya sentiasa memastikan ia berada dalam keadaan yang baik. Ketua pasukan saya, En Siva sentiasa membantu dan memberikan saya semangat. Berdasarkan pengalaman beliau sebagai pelumba MCP pada suatu ketika dulu, banyak ilmu dan tunjuk ajar dapat saya praktikkan. Jika ada kelapangan masa, saya juga membuat latihan bersama rakan-rakan sepasukan saya. Bagi saya, saya cuba memaksimakan peluang yang ada supaya saya dapat meraih satu lagi kemenangan di pusingan kelima nanti sekaligus cuba untuk gelaran juara keseluruhan bagi musim ini.”
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook