fbpx

KEMENANGAN SULUNG AIMAN DAN PASUKAN


Sementara itu, perlumbaan kategori Wira KBS yang cukup sengit menyaksikan pelumba BROTHERS 7 TECH RACING, Md Aiman Md Hafis turut melakar sejarah di Stadium Mini Teluk Intan dengan kemenangan sulung buat dirinya dan juga pasukan.

Perlumbaan petang ini bermula dengan pelumba YAMAHA ESTREMO 27 RACING, Md Adib Arsyad Md Hisam di petak grid pertama selepas mencatatkan masa terpantas 51:306s di sesi kelayakan semalam. Di petak grid kedua adalah pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, Farres Putra Md Fadhill yang mencatat 51:443s diikuti rakan sepasukannya, Raiyan Khardanee Md Sanusi pada 51:457s.

Sejurus perlumbaan bermula, Adib memecut ke hadapan untuk mengetuai kumpulan, namun dipintas oleh Md Akif Abdullah dari HONDA KC RACING. Diikuti rapat di belakangnya adalah Raiyan dan Farres mencari ruang untuk memintasnya.

Kehangatan semakin meningkat menyaksikan dua pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, Raiyan dan Farres saling memintas dalam perebutan kedudukan P1, manakala Md Aiman Md Hafis dari BROTHERS 7 TECH RACING semakin menghampiri dan mengekori rapat di kelompok depan.

Pada pusingan ke-7 Aiman berjaya memintas Raiyan dan Farres di P1 terus memecut cuba untuk menjarakkan jurang.

Pada pusingan ke-9, bendera merah dikibarkan dan perlumbaan diisytiharkan tamat.

Aiman memenangi perlumbaan pada 6’59:048s.

Aiman berkongsi, “Pada awal perlumbaan di pusingan pertama, saya ada melakukan sedikit kesilapan, saya cuba yang terbaik untuk mengejar ke posisi hadapan, tetapi tidak sangka saya dapat memenangi perlumbaan ini. Tidak dapat meluahkan betapa gembiranya saya dapat menang dan saya menghadiahkan kemenangan ini kepada pasukan saya!”

Farres akur di tempat kedua dengan catatan masa 6’59:531s.

Raiyan mengambil tempat ketiga dengan catatan masa 6’59:933s.

, , , ,