Sementara itu, di kategori CP125, pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, Md Adam Haikal Jahar muncul pemenang dalam perlumbaan pusingan 4 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Stadium Mini Teluk Intan sekaligus menyaksikan pasukannya mencatat kemenangan pertama dalam kategori CP125.
Sesi “Shoot Out” yang berlangsung pada waktu pagi tadi telah menempatkan pelumba HONDA KC RACING, Md Irfan Haykhal Amidi di petak grid pertama selepas beliau mencatatkan masa terpantas pada 49:503s. Pelumba YAMAHA TEKHNE AHM MOTOR SPORTS, Arash Tsunami Kamarudin yang mencatat 49:668s bermula di petak grid kedua, dan Md Syamil Amsyar Md Iffende dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING di petak ketiga pada 49:999s.
Perlumbaan bermula dengan Irfan mendahului perlumbaan dengan Syamil mengekori di belakang kemudian kedudukan mereka dipintas oleh Md Afizi Supaat dari ONEXOX TKKR RACING TEAM.
Persaingan semakin sengit dengan pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, Md Adam Haikal Jahar mengikuti rapat cuba mengambil alih kedudukan P1 daripada Afizi. Di P3, adalah pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR, Md Adie Putra Sukarno memintas Md Shafiq Ezzariq dari JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM dan cuba mengejar 2 pelumba di hadapannya.
Pada pusingan terakhir, Adam berjaya melepasi Afizi di P1 pada selekoh keenam dan terus memecut ke garisan penamat pada 12’45:813s.
Adam berkongsi: “Saya tak sangka yang saya akan dapat podium. Sebenarnya bagi minggu ini saya berasa agak susah untuk menaiki podium jadi saya hanya mensasarkan untuk kekalkan kelajuan dan cuba untuk pertahankan kedudukan saya. Saya berlumba dengan sehabis baik dan akhirnya berjaya memenangi perlumbaan hari ini.”
Tempat kedua jatuh ke tangan Afizi dengan catatan masa 12’46:185s.
Adie pula mengambil tempat ketiga dengan catatan masa 12’46:533s.