fbpx

KEMENANGAN LUAR JANGKAAN, APA RAHSIA HONDA KC RACING?


Di acara pembuka tirai Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2024, Honda KC Racing menamatkan saingan dengan dua kemenangan menerusi Md Irfan Haykhal Amidi daripada CP125 dan Md Akif Abdullah di kategori Wira KBS. Ia menimbulkan tanda tanya mengenai persiapan yang dilakukan oleh pasukan tersebut untuk mencapai embilan cemerlang tatkala kebanyakan pasukan masih dalam proses mencari pelarasan terbaik.

Md Irfan Haykhal Amidi meraih kemenangan pada pusingan embilan musim lalu di Tangkak sebelum mengalami kecederaan patah kaki di bahagian “tibia” sekaligus terpaksa menarik diri daripada berlumba di Pusingan akhir di Batu Kawan, Penang. Walaupun masih belum pulih sepenuhnya, Irfan tetap berjaya memenangi Pusingan 1 musim ke-31 di Jasin, Melaka.

Manakala Md Akif Abdullah dengan pengalaman hanya 3 pusingan terakhir musim lalu di kategori Wira KBS, kehadiran Juara Keseluruhan Honda Dash 125 Challenge 2023 pada musim ini mengejutkan ramai apabila beliau memenangi perlumbaan Pusingan 1 musim terbaru ini.. Ketika lawannya dari PETRONAS Sprinta Yamaha 31 Racing, Farres Putra Md Fadhil yang mempamerkan aksi konsisten sejak sesi latihan bebas 1 tampak seakan pasti memenangi perlumbaan, namun Akif menghancurkan hasrat tersebut.

Difahamkan Akif juga mengalami kecederaan pada lutut kiri semasa menjalani sesi latihan seminggu sebelum perlumbaan. Pencapaian ini menyaksikan Akif secara tidak langsung menyampaikan amaran awal tidak akan memberi laluan mudah kepada mana-mana pelumba.

Menurut pengurus Honda KC Racing, Wan Rosli W. Mohamad, “Kami memulakan persediaan seawal Januari 2024. Dengan regulasi baru kategori CP125 dari segi “Magnet”, Bateri dan “Throttle Body” tidak memberi mana-mana pasukan kelebihan termasuk kami. Kami bekerja keras menaiktaraf tahap dalam masa sama mencari tetapan yang sesuai untuk regulasi terbaru. Latihan pelumba bersama jentera mereka juga kerap kami lakukan untuk mencari keserasian antara pelumba dan jentera mereka.”

“Tidak terlepas pandang untuk memastikan tahap kecergasan pelumba berada dalam tahap yang tertinggi walaupun perlumbaan bermula pada Mac 2024, tetapi kecergasan pelumba saya tegaskan perlu ditingkatkan dari masa ke semasa”

Tambah Rosli, “Litar Jasin masih mengekalkan ‘layout’ yang sama seperti tahun 2023, jadi kami masih mempunyai rekod dari segi tetapan jentera. Tambahan, kelebihan pasukan kami lebih cenderung kepada selekoh yang terakhir menuju garisan penamat, permukaan jalan adalah cenderung keatas seperti mendaki bukit, jadi kami lebih titikberat sektor selekoh terakhir kerana ia adalah satu sektor kawasan yang mudah untuk memotong jentera lain.”

Rosli turut berkongsi apabila ditanya mengenai sama meletakkan harapan lebih tinggi terhadap pasukan, “Pusingan 1 adalah satu pusingan yang amat positif pada kami, terlalu awal untuk kami meletakkan harapan tinggi kepada rider lebih-lebih lagi bagi kategori Wira KBS kerana Akif adalah pendatang baru untuk kategori ini yang dinaiktaraf dari kategori Honda Dash 125 Challenge 2023. Sememangnya kami mengharapkan kami dapat mempertahankan gelaran juara keseluruhan kategori Wira KBS yang dimenangi oleh Md Farish Iqmal Khayrul Elyas yang telah beralih focus ke kategori CP125.”

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook