fbpx

FIRDAUS NAZAR “BOTAK KEPALA” UNTUK KEMENANGAN SULUNG


Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing, Md Firdaus Md Hamdan bernazar untuk membotakkan kepala sekiranya meraih kemenangan dalam perlumbaan Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix tahun ini.

Nazar tersebut dibuat berikutan tahun ini merupakan penampilan terakhir pelumba 26 tahun itu beraksi dalam kategori CP125 sebelum beralih fokus kepada CP150 pada tahun depan.

Sejak berlumba dalam CP125 pada 2020, Firdaus telah menaiki podium sebanyak 4 kali dalam 2021, iaitu tempat kedua di Pusingan 6 dan 10, serta tempat ketiga di Pusingan 5 dan 8.

Namun, impian memenangi perlumbaan masih belum menjadi kenyataan. Firdaus terus mendahagakan kemenangan agar dapat meninggalkan pentas CP125 dengan kenangan manis.

“Saya sudah beraksi dalam kategori CP125 selama 4 tahun, dan tahun ini adalah tahun ke-5 dan juga tahun terakhir penampilan saya atas faktor usia. Saya telah merasa P2 dan P3, tetapi tidak pernah berpeluang untuk menaiki ke kedudukan teratas. Hasrat terbesar saya adalah menang perlumbaan tahun ini. Andainya tercapai, saya akan cukur semua rambut saya!”

Selain impian meriah kemenangan, Firdaus turut berkongsi hasratnya yang tidak tercapai, iaitu beraksi dalam pasukan sama dengan adiknya, Md Haziq Md Hamdan yang kini mewakili Castrol Power1 Honda Yuzy Racing. Namun, Firdaus bersifat positif bahawa berada dalam pasukan berbeza melatih mereka berdua untuk tampil lebih berdikari dan kompetitif tanpa bergantung kepada satu sama lain.

“Saya pernah berada dalam pasukan sama dengan adik saya, Haziq. Ketika itu, kami kerap bekerjasama dalam perlumbaan untuk berada di kelompok depan. Walaupun kali ini tidak dapat berlumba sebagai rakan sepasukan, kami berjanji akan berikan yang terbaik demi kejayaan masing-masing. Di luar litar kami darah daging yang sama, dalam litar, LAWAN TETAP LAWAN!”

Firdaus menamatkan perlumbaan Pusingan 1 yang berlangsung di Jasin, Melaka di tempat ke-9 sekaligus mengumpul 7 mata di pembukaan musim itu.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook