fbpx

KEMENANGAN ADAM, TITIK PERMULAAN KEJAYAAN LAIN

Sesudah pecah telur, kemenangan terus ditagihkan…

Inilah yang paling sesuai untuk menggambarkan pelumba muda dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, Md Adam Haikal Jahar setelah mencipta sejarah dalam kariernya apabila meraih kemenangan pertamanya dalam kategori CP125 di Pusingan 4 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix. Perlumbaan yang berlangsung di Stadium Mini Teluk Intan ini bukan sahaja menjadi titik kejayaan buat Adam, tetapi juga kemenangan pertama bagi pasukannya dalam kategori CP125.

Adam dinaikkan pangkat ke kategori CP125 pada tahun 2023, selepas menunjukkan prestasi cemerlang dalam kategori Wira KBS, di mana beliau dinobatkan sebagai juara keseluruhan pada tahun 2022. Kejayaan ini membuktikan bahawa Adam bukan sahaja berpotensi tetapi juga berdaya saing di peringkat lebih tinggi.

“Perasaan saya saat memenangi perlumbaan di Teluk Intan sangat gembira dan mengembalikan semangat saya kerana perlumbaan sebelum ini tidak memuaskan hati. Namun, kali ini saya sangat berpuas hati dengan usaha yang saya berikan dalam perlumbaan di Teluk Intan,” kata Adam

Adam juga menekankan makna kemenangan pertama dalam kategori CP125 ini buat dirinya, “Kemenangan pertama ini sangat bermakna bagi saya dan pasukan. Ia memberikan impak besar kepada saya untuk terus berusaha mengejar podium pada race seterusnya.”

“Cukup hanya saya tahu jerih payah demi membuktikan kemampuan mencapai kemenangan. Selain melakukan banyak latihan fizikal, saya kerap berlatih di atas motosikal untuk memaksimakan cara tunggangan saya. Saya sangat gembira ia membuahkan hasil di Teluk Intan,” tambahnya.

Mengulas mengenai pusingan 5 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan) yang akan menjadi cabaran seterusnya, Adam berkata, “Bagi pendapat dan pengalaman saya, perlumbaan di Sepang Selatan lebih mencabar kerana treknya lebih luas dan memerlukan strategi lengkap untuk sampai ke garisan penamat.”

Namun, ia tidak menghalang Adam untuk bersifat optimis mengenai peluang meneruskan rentak kemenangannya. “Saya percaya ada peluang untuk meneruskan momentum kemenangan ini memandangkan saya sudah mendapatkan kembali semangat dan keberanian untuk berlumba di kelompok hadapan.”

“Cabaran utama yang saya hadapi semestinya berdepan dengan pelumba yang lebih berpengalaman. Persiapan saya setakat ini melibatkan peningkatan tahap kecergasan dan memperkuatkan mental ketika berlumba dengan pelumba yang lebih berpengalaman,” tambah Adam.