fbpx

AKID TUNJUK KUASA DI TELUK INTAN


Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Stadium Mini Teluk Intan berakhir pada petang tadi. Saingan perlumbaan CP150 menyaksikan pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing, Md Akid Aziz mengesahkan kemenangan bagi Pusingan 4 musim ini.

Di sesi “Super-Pole” pagi tadi, pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing, Ahmad Afif Amran mencatatkan masa terpantas 47:542s sekaligus mengambil kedudukan grid pertama perlumbaan akhir. Di grip kedua adalah rakan sepasukannya, Md Akid Aziz yang mencatat masa terpantas 47:648s diikuti Kasma Daniel Kasmayudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR dengan catatan masa 47:766s di petak ketiga.

Permulaan perlumbaan akhir tadi, Akid dan Afif dengan pantas mengambil kedudukan hadapan diikuti oleh dua pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR, Kasma Daniel Kasmayudin dan Nazirul Izzat Md Bahauddin.

Memasuki pusingan ke-4, Akid, Afif dan Kasma yang berada di hadapan dengan jurang hampir 3 saat dengan kumpulan di belakang. Di P4, Azroy Hakeem Anuar dari HONDA ESTREMO YUZY RACING diikuti oleh rakan sepasukannya, Shahrol Syazras Shahrol Yuzy.

Pada pusingan ke-14 Afif cuba melepasi Akid untuk mengetuai pasukan namun Akid berjaya kembali memintas Afif. Kedudukan pelumba-pelumba di kelompok hadapan terus konsisten dengan Akid memenangi perlumbaan dengan catatan masa 15’52:420s.

Akid berkongsi, “Minggu ini memang bukan mudah, kita tidak dapat pelarasan yg baik, namun hari ni bertambah baik tetapi masih bukan sepenuhnya. Perlumbaan tadi saya agak tertekan tapi saya cuba ubah cara tunggangan saya kerana jentera saya agak susah untuk dikawal, saya perlu melakukan sesuatu untuk kekal di hadapan. Saya tahu Afif lebih bagus daripada saya, mungkin berat badan saya lebih ringan jadi ada kelebihan untuk saya kali ini”

Afif mengambil tempat kedua dengan catatan masa 15’52:535s.

Di tempat ketiga adalah Kasma dengan catatan masa 15’53:418s.

, , , ,