fbpx

KASMA RAPATKAN JURANG PENDAHULU


Pelumba rookie CP130, Kasma Daniel Kasmayudin merapatkan jurang pendahulu kepada tiga mata berbanding pendahulu yang juga rakan sepasukan, Ahmad Fazli Sham setelah berjaya menjuarai perlumbaan akhir CP130 pada Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berakhir di Pasir Mas, Kelantan, hari ini.

Meskipun bermula agak perlahan dan sedikit ketinggalan pada peringkat awal perlumbaan, Kasma berjaya menamatkan 20 pusingan perlumbaan dengan masa 13’56.822s, hanya 0.012s dibezakan dengan Ahmad Fazli selepas aksi pintas memintas diantara kedua-dua pelumba itu. Tempat ketiga milik Md Zaqhwan Zaidi (Givi Honda Yuzy Racing) yang menamatkan perlumbaan dengan masa 13’58.310s.

“Permulaan saya tidak begitu baik ditambah dengan kesilapan di selekoh pertama menyebabkan saya sedikit ketinggalan pada peringkat awal perlumbaan. Namun pasukan berjaya menyediakan jentera yang begitu baik dan membantu saya untuk kekal berada dalam kelompok depan. Saya hanya mengekori Fazli sehinggalah Hafiz Nor Azman berada di belakang saya dan melakukan percubaan untuk memintas. Selepas itu saya mula mencari ruang untuk berada di depan Fazli namun pada masa sama kami pula saling bertukar kedudukan sehinggalah ke pusingan terakhir,” jelas Kasma.

Selepas empat pusingan, pelumba PETRONAS Yamaha Maju Motor itu kini mengumpul 75 mata hasil tiga gelaran juara termasuk pusingan pembukaan di Serdang, Selangor dan pusingan ketiga di Kangar, Perlis manakala Fazli di tangga teratas dengan 78 mata sambil Zaqhwan naik ke tangga ketiga dengan 45 mata.

Kemenangan ini juga meletakkan pasukan PETRONAS Yamaha Maju Motor selesa mendahului kedudukan berpasukan dengan mengumpul 163 mata diikuti pasukan Motul Zeneos Yamaha YY Pang dengan 89 mata dan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing ketiga, 77 mata.

, ,