fbpx

JENTERA BAHARU HONDA JANJIKAN SAINGAN LEBIH SENGIT

Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix pada musim 2024, pertukaran jentera dalam Honda RS-X One Make Challenge menyaksikan perubahan positif buat pelumba Sabah, Md Shazrilee Pattelee yang membuat penampilan keduanya.

Musim ini, pelumba-pelumba beraksi dengan jentera Honda RS-X dengan 150cc berbanding Honda Dash dengan 125cc yang digunakan pada musim lalu, sekaligus memberi peluang seimbang kepada semua pelumba untuk memburu kemenangan.

Ternyata, ia seolah-olah menjadi satu kelebihan buat Shazrilee yang tampak berjaya menguasai jentera baru itu dengan baik apabila muncul pemenang Pusingan 1 di Jasin. 

Bukan itu sahaja, untuk rekod, Shazrilee menunjukkan peningkatan di setiap pusingan, termasuk pencapaian terbaiknya ketika itu, meraih tempat ke-6 sebanyak dua kali pada Pusingan 8 dan 10.

Sama ada permulaan baik musim ini merupakan kemampuan sebenar atau tuah buat pelumba 15 tahun ini, ia bakal terbukti dalam pusingan-pusingan akan datang, termasuk perlumbaan di Tangkak pada hujung minggu ini.

“Alhamdulilah sangat bersyukur dengan kemenangan pusingan 1 di Jasin walaupun litar dalam keadaan basah. Tahun ini berbeza berbanding tahun lepas kerana motor yang digunakan adalah Honda RSX 150 yang mana lebih menarik dan mencabar, membuatkan saya lebih teruja!”

“Kemenangan pada Pusingan 1 membuatkan saya mahu lebih berusaha untuk mengekalkan prestasi di pusingan seterusnya. Kemenangan ini juga membakar semangat dan impian saya sebagai pelumba. Saya nekad buat yang terbaik dan menjalani latihan secara berterusan untuk kekalkan momentum ini.”

“Bagi saya litar Tangkak ini agak mencabar dengan corner yang berbukit tetapi ia bukan penghalang untuk saya menguasai keadaan litar dan pastikan berada di kelompok hadapan, Insyaallah.”

“Sukan permotoran sangat bermakna dalam hidup saya kerana ia mengajar erti pengorbanan serta usaha gigih dan kepentingan disiplin diri yang tinggi sama ada di dalam trek atau pun di mana-mana jua. Saya akan cuba merealisasikan impian saya di dalam sukan permotoran demi melonjak ke peringkat yang lebih jauh.”

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook