fbpx

AKID AKAN MEMPERTAHANKAN KEJUARAAN

Pusingan kedua Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan berlangsung di Kompleks Sukan Permotoran Tangkak pada hujung minggu ini. Md Akid Aziz dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing akan kembali untuk memberikan saingan yang hebat di kategori CP150.

Setelah meraih gelaran juara pada musim lepas, Akid kembali dengan azam baharu dan tidak melengahkan masa dalam usahanya untuk mempertahankan kejuaraannya. Di pusingan pertama yang telah berlangsung di daerah Jasin hampir dua bulan lepas, Akid telah mengulangi persembahan yang mantap sekaligus menyambar tempat pertama di podium. Pelumba yang berasal dari Kuala Lumpur ini jelas memiliki kemahiran yang agak luar biasa, mampu memberikan tumpuan sepenuhnya dan mengelak sebarang kesilapan semasa perlumbaan.

Kelebihan Akid juga jelas ternyata dengan kebolehannya untuk menyesuaikan diri di mana-mana litar, samada di litar kelajuan tinggi mahupun di litar teknikal. Pada musim lepas, Akid telah menamatkan perlumbaannya di tempat kedua di Litar Tangkak setelah memberikan saingan yang hebat kepada rakan sepasukannya. Musim ini mungkin berbeza bagi beliau, lebih-lebih lagi dengan kemahiran yang telah diasah dan pengalaman yang lebih mendalam.

Menurut Akid, “Untuk litar Tangkak, ramai yang sudah pun dapat “setup” untuk jentera mereka lebih-lebih lagi dengan data-data lama untuk rujukan berbanding dengan litar Jasin hari itu. Litar Jasin masih baharu maka untuk dapatkan informasi dan data mengambil masa. Boleh dikatakan, persaingan di litar Tangkak semestinya sengit. Pelumba-pelumba di kategori ini pun, ramai yang berpengalaman dan sudah biasa dengan susun atur litar tersebut. Pada musim lepas di Tangkak, jentera saya dalam keadaan yang kurang baik dan saya menghadapi banyak cabaran dari masa latihan bebas sehingga ke hari perlumbaan. Saya berharap semuanya berjalan dengan lancar bagi pusingan yang akan datang nanti.”

“Pencabar utama saya di litar Tangkak adalah Afif, Kasma dan Azroy. Mereka masing-masing mempunyai kelebihan di litar tersebut dan pantas mengambil peluang di mana boleh. Tidak lupa juga saingan-saingan daripada Nazirul dan Aiman yang masing-masing mempunyai rekod yang baik di Tangkak. Walaupun saingan pelumba-pelumba kuat, namun saya masih ada keyakinan dengan diri dan juga jentera saya. Pada pusingan pertama, keadaan jentera saya cukup baik berbanding dengan tahun-tahun lepas. Matlamat saya adalah untuk memperbaiki kekurangan saya dan cuba kekalkan kejuaraan saya.”

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook