fbpx
Izzat Zaidi Md Salehan memperbaiki rekod peribadi beliau tahun lalu sekaligus menjadi pelumba terpantas pada sesi kelayakan Pusingan 3

IZZAT PERBAIKI REKOD SENDIRI

Md Izzat Zaidi Md Salehan dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing memperbaiki rekod peribadi beliau tahun lalu sekaligus menjadi pelumba terpantas pada sesi kelayakan Pusingan 3 Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix hari ini.

Walaupun sesi latihan pada hari ini bermula dengan hujan di waktu pagi diikuti dengan cuaca mendung ketika sesi kelayakan, tidak menghalang beliau mencatatkan masa 1’15:134s bagi kategori CP150 mengatasi rekod yang pernah dicatat beliau tahun lalu.

Kelebihan Izzat terserlah di Litar Sepang dengan pencapaiannya yang baik pada musim lepas apabila beliau berjaya mencatatkan masa terpantas. Walaupun persaingan sesi kelayakkan ini bertambah hebat dengan kehadiran pelumba-pelumba yang handal, namun Izzat telah mempertahankan kedudukannya dan membuktikan kebolehannya untuk mengendalikan jentera pada kelajuan maksima.

Menurut Izzat, “Setup bagi jentera saya memang bagus dan walaupun saya telah menghadapi masalah teknikal, saya dapat menamatkan sesi kali ini dengan masa terpantas.”

“Bagi perlumbaan pusingan ketiga esok, saya ingin memperkukuhkan lagi kedudukan saya dan berharap untuk mendapat tempat teratas di podium.”

Tempat kedua terpantas jatuh ke tangan Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Idemitsu dengan catatan masa 1’15:175s.

Tempat ketiga pula diambil oleh rakan sepasukan Azroy iaitu Shahrol Syazras Shahrol Yuzy dengan catatan masa 1’15:384s.

Bagi kategori CP125 pula, Md Irfan Haykhal Amidi dari pasukan Honda KC Racing telah menamatkan persaingan sesi kelayakkan pusingan ketiga dengan catatan masa terpantas.

Ia adalah suatu pencapaian yang hebat bagi Irfan berbanding dengan perlumbaannya di pusingan pertama dan kedua di mana beliau tidak dapat menamatkan perlumbaannya. Walaupun beliau telah menampilkan kebolehannya di litar Tangkak semasa sesi kelayakkan di tangga keempat, namun beliau gagal mengumpul mata di perlumbaan.

Pada sesi kelayakkan petang tadi, Irfan mencatatkan masa terpantas 1’20:907s.

Tempat kedua terpantas pula diambil oleh Md Syafiq Rasol dari pasukan ONEXOX TKKR Racing dengan catatan masa 1’20:917s.

Md Adib Rosley dari pasukan YYPang Yamaha Racing telah menunjukkan peningkatan dalam prestasinya apabila beliau mencatatkan masa ketiga terpantas, 1’21:234s.

Sementara itu, bagi kategori Wira KBS, Md Syamil Amsyar M Iffende dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing berjaya mencatatkan masa terpantas pada sesi kelayakan.

Syamil telah menunjukkan suatu prestasi yang konsisten sepanjang musim ini apabila beliau berjaya mendapat tempat pertama di podium di pusingan satu dan kedua yang berlangsung di Litar Sepang dan Litar Tangkak masing-masing.

Pada sesi kelayakkan hari ini, beliau sekali lagi telah menampilkan kebolehannya untuk mempertahankan kedudukannya apabila beliau menamatkan persaingan di sesi kelayakkan dengan catatan masa 1’22:139s.

Tempat kedua dan ketiga terpantas disambar oleh Amirun Haziq Johan dan rakan sepasukan Syamil, Md Danish Aiman Zamrul dengan catatan masa 1’23:064s dan 1’23:598s. Amirun telah menunjukkan kebolehannya apabila dia berjaya mencatatkan masa yang lebih baik daripada Danish yang telah memenangi pusingan satu dan kedua di tempat kedua.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook