fbpx

IZZAT CEKAL DALAM PENCARIAN MATA


Md Izzat Zaidi Md Salehan dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing berjaya di tangga teratas pada pusingan kelima Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix.

Inilah kali pertama Izzat mendapat tempat pertama setelah lapan tahun berusaha. Pada empat pusingan sebelumnya, Izzat menaiki podium sekali di tempat kedua pada pusingan pertama di Sepang. Perlumbaan kedua sehingga keempat tidak begitu menyebelahinya. Namun, beliau tetap mencari jalan untuk mempertingkatkan prestasinya. Akhirnya, usaha beliau telah membuahkan hasil di pusingan kelima.

Perlumbaan pusingan kelima merupakan suatu perlumbaan yang hebat bagi Izzat kerana beliau telah menampilkan prestasi yang amat bagus sepanjang dua hari tersebut. Beliau bukan sahaja mencatatkan masa terpantas di sesi kelayakan tetapi juga berjaya menduduki tempat pertama di petak grid selepas sesi “Super Pole”.

Untuk perlumbaan 20 lap seterusnya, Izzat berjaya mempertahankan kedudukannya di P1 sepanjang perlumbaan. Pada lap terakhir, beliau telah jauh meninggalkan pesaingnya di P2. Masa terpantas lap yang dicatatkan oleh beliau adalah 43.880s.

Menurut Izzat, “Saya memang tidak menjangka kebolehan saya di Litar Jempol. Pada masa itu, saya hanya ingin mencapai tangga lima keatas namun saya berjaya di tangga pertama. Saya ibaratkan ia suatu rezeki.”

“Litar Sepang adalah salah satu litar kegemaran saya. Matlamat saya adalah untuk mencapai podium sekurang-kurangnya di tempat kedua dan untuk mengambil jumlah mata yang sebanyak mungkin. Untuk itu, saya banyak melakukan latihan kecergasan dan mental untuk kekal fokus. Saya juga amat yakin dengan jentera serta pasukan saya yang sentiasa mencari penyelarasan yang terbaik untuk setiap litar.”

Amer Saad, Pengurus Teknikal pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing berkata, “Kerjasama mekanik dalam kerja-kerja penyelenggaraan dan penyelesaian masalah dengan cepat dan teratur serta pengubahsuaian strategi adalah satu perkara yang membantu pasukan kami mendapat keputusan yang terbaik baru-baru ini.”

“Bagi pusingan keenam nanti, kami dibenarkan untuk mengubah “gearbox” maka pasukan kami ada membuat sedikit perubahan untuk sesuaikan dengan pelumba dan jentera kami. Memandangkan litar di SIC adalah lurus dan panjang, ia diharapkan akan menjadi suatu kelebihan bagi pelumba-pelumba kami.”

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook

, , , ,