fbpx

STRATEGI AMAT PENTING BAGI ADIB UNTUK LITAR SEPANG

Md Adib Rosley dari pasukan YYPang Yamaha Racing berjaya untuk pertama kalinya di podium pada pusingan kelima Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix.

Adib yang merupakan juara bertahan musim ke-28 telah bergelut selama empat pusingan pada musim ini untuk mendapatkan tempat di podium. Litar Jempol memberikannya kelebihan apabila beliau menamatkan perlumbaan tersebut dengan nada positif.

Sepanjang perlumbaan, Adib kelihatan yakin dengan kedudukannya di P2. Beliau juga berjaya mengendalikan jenteranya dengan hebat di selekoh-selekoh yang tajam. Walaupun perlumbaan tersebut sengit dengan aksi pelumba-pelumba yang hebat, Adib kekal konsisten sepanjang perlumbaan dan berjaya mempertahankan kedudukannya sepanjang perlumbaan tersebut.

Kemenangan Adib di tangga kedua meningkatkan kedudukannya secara keseluruhan dari tempat ketiga-belas ke tempat ketujuh.

Menurut Adib, “Tahun ini, memang agak sukar bagi saya tetapi saya tidak akan berputus asa. Saya akan terus mengejar podium. Untuk pusingan kelima, saya telah menggunakan pengalaman saya berlumba di litar teknikal untuk buat yang terbaik. Litar Jempol yang teknikal tidak memerlukan kelajuan yang pantas tetapi lebih kepada kemahiran pengendalian jentera. Bagi Litar Sepang, jentera dan strategi adalah amat penting.”

“Bagi pusingan keenam di Litar Sepang, saya ingin mencapai podium. Kedudukan saya secara keseluruhan buat masa kini tergugat akibat pusingan-pusingan yang lepas. Saya berharap dapat terus kumpulkan mata supaya dapat tempat ketiga teratas secara keseluruhan untuk musim ini.”

Menurut pemilik pasukan, Pang Yok You, “Prestasi enjin kami ada peningkatan untuk pusingan kelima berbanding dengan pusingan keempat, maka pencapaian kami kali ini di Jempol agak bagus.”

“Pelumba-pelumba kami telah banyak melakukan sesi latihan persendirian baru-baru ini. Kebanyakkan pelumba kami lebih menguasai litar kecil daripada litar besar. Walaupun pelumba-pelumba kami telah berlumba banyak kali di litar Sepang semenjak MCO, kemenangan kami agak bergantung kepada kepintaran pelumba dalam perlumbaan akhir. Jadi, perbincangan strategi semasa di litar amat penting untuk Litar Sepang.”

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook