Sesuai dengan namanya, prestasi pelumba Yamaha NVX Challenge, Arash ‘Tsunami’ Kamaruddin, sukar digugat dalam arena sukan permotoran jentera dua roda yang paling berprestij di negara, PETRONAS Malaysian Cub Prix 2022 edisi ke- 29.
Ia terbukti apabila dia menakluki carta kedudukan pelumba kategorinya dengan 120 mata selepas menaiki podium pada setiap pusingan sejak perlumbaan pembuka tirai sehingga pusingan ke-5 yang berlangsung di Dataran Sri Jempol, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Beliau yang lebih dikenali dengan nama, Nami, mula menjinak dalam sukan permotoran ini secara professional sekitar lewat tahun 2021 apabila bapanya mendaftarkannya untuk menyertai V-Fier Oil Engine Test Trackday Open dalam kategori 110-130 CC, menggunakan jentera Suzuki RG Sport.
Mengulas mengenai penglibatan dalam arena sukan permotoran, pelumba berusia 17 tahun itu menyatakan, ia tercetus kerana niat ibu bapa untuk mengelakkan beliau daripada bergelumang dengan kegiatan lumba haram yang membahayakan diri sendiri dan juga pengguna jalan raya lain.
Usaha bapanya, Kamaruddin Sarap, tidak membazir jika melihat prestasi yang ditampilkan anak muda tersebut pada musim pertama beliau dalam kejohanan jentera dua roda itu.
“Sebenarnya saya agak pemalu dan sedikit nakal. Penglibatan saya dalam MCP kali ini adalah semata-matanya usaha kedua ibu bapa saya. Mereka tidak mahu saya terlibat dalam kegiatan negatif tetapi mereka tetap menyokong minat saya.”
“Ketika saya beraksi dalam V-Fier Oil Engine Test Trackday Open, ada mata-mata yang sentiasa memerhati gerak-geri semasa sedang beraksi. Alhamdulilah, aksi saya itu menarik perhatian dan dengan izin Allah saya dipanggil oleh seorang individu yang tidak mahu dikenali untuk menyertai Malaysian Cub Prix BAGI tahun 2022 yang sedang berlangsung sekarang dalam kategori One Make Race” jelas Arash.
Di sebalik nama tengahnya, Tsunami, ‘admin’ tersentuh dengan sebab nama tersebut menjadi pilihan kedua ibu bapa, anak muda kelahiran Kuala Selangor itu.
Walaupun telah 18 tahun berlalu, bencana Tsunami yang melanda rantau Aceh pada tahun 2004 yang meragut hampir 250 juta nyawa termasuk 11 negara yang terkesan, masih segar dalam ingatan setiap insan di seluruh dunia. Malaysia juga tidak terkecuali.
Arash ketika itu berada dalam kandungan ibunya dengan berusia tiga bulan setengah. Berkongsi detik tersebut, bapa Arash menyatakan, pada zaman dahulu orang tua mempercayai bahawa kandungan muda mudah keguguran bila-mana ada bencana seperti ini melanda dan ia hanya sekadar kepercayaan masing-masing
Namun, Arash berjaya dilahirkan dengan selamat pada bulan Mei, tahun berikutnya tanpa sebarang impak dari bencana tersebut. Sebagai tanda bersyukur dan penghormatan kepada yang terkorban, nama ombak besar ‘ Tsunami’ menjadi sebahagian daripada nama Arash.
Mewajarkan nama tersebut, kini Arash mengganas serupa ombak besar itu dalam dunia jentera dua roda dengan impian untuk memahat nama di persada antarabangsa suatu hari nanti.
Selepas lima pusingan awal edisi ke-29 Malaysian Cub Prix, ia agak jelas Arash memiliki aura tersendiri ketika berada di atas litar bersama jenteranya untuk mempamerkan aksi yang cukup cemerlang.
Menurut Arash, tahap stamina yang dimilikinya menjadi kelebihan berbanding pelumba-pelumba lain untuk menonjol dalam kategori One Make Race.
Katanya “Saya merupakan anak seorang Nelayan. Saya dah biasa dengan aktiviti lasak seperti berenang dan meredah lumpur dari kecil lagi. Jadi tahap ketahanan badan dan stamina yang saya miliki agak berbeza berbanding mereka yang menetap di bandar.
“Dan saya sentiasa menjadi pemandu bot bapa pada waktu cuti dan turun kelaut bersama bapa. Saya juga boleh kata ia sedikit sebanyak mendorong minat saya dalam arena perlumbaan ini.
“Selain itu saya juga kerap berlatih di Litar Lumba Rakyat Kuala Selangor dua kali setiap minggu. Ia juga salah satu kelebihan buat saya kerana tempat tinggal saya hanya 10 kilometer jarak ke litar tersebut. Saya juga menonton beberapa siaran permotoran di YouTube untuk belajar beberapa kemahiran dan pernah meniru gaya pelumba antarabangsa ketika saya berlumba.”
Pelumba yang baru sahaja menjejaki arena perlumbaan sebenar itu bukan menurun hanya untuk melengkapi masa lapang dengan hobinya, malah mempunyai misi menjuarai kategorinya pada akhir musim ini agar dapat bersaing pada peringkat yang lebih tinggi bagi musim depan.
Walaupun jurang mata antara beliau dengan pelumba-pelumba lain sudah cukup memadai untuk merangkul gelaran, Arash tetap mahu kekal konsisten untuk berada di podium pada setiap pusingan yang akan datang.
Kecemerlangan Arash juga berjaya menarik perhatian pasukan besar, Yamaha, apabila ditaja untuk beraksi pada pusingan pertama Kejuaraan Superbike Malaysia dalam kategori One Make Race Yamaha Y16 yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, hujung minggu ini.
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook