fbpx

IZAM MANTAP DI LITAR MEDINI

Pusingan kesembilan Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix telah berlangsung di Litar Bandar Medini Iskandar. Md Izam Ikmal dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing meraih tempat pertama di Bandar Medini Iskandar di kategori CP125.

Di sesi “Shoot-Out” yang telah berlangsung pada tengah hari tadi, Md Izam Ikmal dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing telah tampil dengan kelebihan apabila beliau mencatatkan masa terpantas 46’024s. Beliau mengambil kedudukan pertama di petak grid diikuti oleh Md Syamil Amysar dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing di petak grid kedua dengan catatan masa terpantas 46’318s. Di tempat petak grid ketiga adalah Md Haziq Hamdan dari pasukan Castrol Power1 Honda Yuzy Racing dengan catatan masa terpantas 46’353s.

Sejurus bermulanya sesi perlumbaan, Izam dengan cepat mengambil kedudukan P1 di selekoh petama diikuti oleh Irfan di P2 tetapi sebelum berakhirnya lap pertama, Irfan mengambil P1 diikuti oleh Syamil di P2. Namun begitu, di lap ketiga, jentera Syamil memberikan masalah dan membuka peluang kepada Izam untuk mara ke P2. Haziq Hamdan pula mengambil kedudukan P3. Persaingan bertambah sengit di setiap lap. Sepanjang perlumbaan, Irfan kekal fokus di P1 tetapi Izam terus memberikan tekanan sebelum mengambil alih kedudukan P1. Di lap terakhir, Izam kekalkan momentumnya dan mula membuka jurang dengan Irfan di P2 sebelum menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 12’20:461s.

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya. Perlumbaan tadi agak sengit dan saya juga nampak Irfan agak aggresif. Tetapi, saya cuba mengekalkan momentum kerana terutamanya di keadaan litar yang basah dan elak sebarang kesilapan. Syamil malangnya tidak dapat meneruskan perlumbaan. Jadi saya cuba mengambil peluang untuk menguasai perlumbaan ini. Ini adalah rezeki saya pada hari ini dan saya amat bersyukur.”

Irfan Haykal dari pasukan Honda KC Racing mendapat tempat kedua dengan catatan masa 12’21:276s.

Haziq Hamdan dari pasukan Castrol Power1 Honda Yuzy Racing mengambil tempat ketiga dengan catatan masa 12’25:846s.