Pusingan kesembilan Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix telah berlangsung di Litar Bandar Medini Iskandar. Md Akid Aziz dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing bukan sahaja memenangi pusingan ini tetapi meraih gelaran juara awal di kategori CP150.
Sesi “Super-Pole” yang dijadualkan pada tengah hari tadi dibatalkan disebabkan oleh hujan. Bendera merah dikibarkan dan petak grid pelumba-pelumba CP150 ditetapkan berdasarkan keputusan sesi kelayakan yang telah berlangsung petang semalam. Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Estremo Yuzy Racing mengambil petak grid pertama dengan catatan masa 44’624s diikuti oleh Md Akid Aziz dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing dengan catatan masa 44’626s. Di petak grid ketiga adalah Kasma Daniel dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor dengan catatan masa 44’675s.
Di sesi perlumbaan akhir tadi, Akid tidak melengahkan masa dan terus meluru ke P1 di selekoh pertama diikuti oleh rakan sepasukannya Afif di P2. Azroy mengambil kedudukan P3 sebelum di pintas oleh Kasma dari dalam di selekoh pertama. Afif yang memberikan tekanan ke atas rakan sepasukannya berjaya memintas Akid. Sepanjang perlumbaan tersebut, kedudukan ketiga-tiga pelumba di hadapan tidak berubah. Duo sepasukan tersebut juga mula membuka jurang dengan Kasma di P3 sebelum Akid mencabar Afif untuk mengambil alih kembali kedudukan P1.
Afif meneruskan strateginya untuk bersaing secara positif dengan rakan sepasukannya namun Akid yang memburu kejuaraan awal tidak memberikan Afif peluang untuk memintas. Di lap terakhir, Akid membuka jurang di antara rakan sepasukanya dan mempertahankan kedudukannya dengan hebat sebelum menamatkan perlumbaan bukan sahaja sebagai pemenang pusingan kesembilan tetapi sebagai juara keseluruhan buat dua kali berturut-turut dengan catatan masa 15’17:301s.
Menurut Akid, “Untuk musim ini, perjalanan saya agak bagus sepanjang musim ini. Dari pusingan satu sehingga sekarang, saya hanya kehilangan satu podium di pusingan Sepang tetapi pusingan-pusingan seterusnya semua berjalan dengan lancar. Saya dapat mempertahankan kedudukan saya di atas. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pasukan saya, krew saya serta keluarga saya untuk sokongan yang telah diberikan.”
Pelumba sepasukan Ahmad Afif Amran mengambil tempat kedua dengan catatan masa 15’17:409s.
Kasma Daniel mengambil tempat ketiga dengan catatan masa 15’33:152s.