Pusingan kesembilan Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix telah berlangsung di Litar Bandar Medini Iskandar. Md Adib Arsyad dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing meraih kemenangan di Litar Bandar Medini Iskandar bagi kategori Wira KBS.
Di sesi kelayakan yang telah berlangsung semalam, Md Iman Fahmi dari pasukan Winbox KM+ AXLA mengambil kedudukan pertama di petak grid setelah mencatat masa terpantas 47’245s. Di petak grid kedua adalah Md Adib Arsyad dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing dengan catatan masa 47’330s diikuti oleh Farres Putra dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing di petak grid ketiga dengan catatan masa 47’442s.
Semasa perlumbaan, Farres dengan pantas memintas pelumba-pelumba lain untuk mendahului kelompok tersebut di P1 diikuti oleh Adib di P2. Tetapi di lap kedua, Adib memintas Farres diikuti oleh Iman sebelum Iman menguasai litar tersebut. Farres di kedudukan P3 cuba menutup jurang di hadapan. Sepanjang perlumbaan, persaingan bertambah hebat di antara Iman dan Adib manakala Farres hanya mengekori di P3. Sementara itu, Akif di P4 semakin mendekati Farres dan mencari peluang memintas. Di lap terakhir, keempat-empat, dalam persaingan yang sengit berebut untuk ke hadapan sebelum Adib menyambar kedudukan pertama pada 9’44:940s.
Menurut Adib, “Saya amat berterima kasih kerana mendapat tempat pertama di tempat kelahiran saya. Saya memang menunggu untuk saat ini. Pada musim lepas, saya hanya berjaya di tangga kesepuluh. Di lap terakhir, saya dah agak yang Imah Fahmi akan cuba memintas saya seperti yang telah dilakukannya beberapa kali. Namun begitu, saya kekalkan momentum saya dan mengawal teknik tunggangan saya. Saya berterima kasih kepada rakan-rakan dan keluarga saya hadir ke sini hari ini untuk sokongan mereka.”
Farres mengambil tempat kedua dengan catatan masa 9’45:133s.
Akif Abdullah dari pasukan Honda KC Racing mengambil tempat ketiga dengan catatan masa 9’45:391s.