fbpx

IZAM IKMAL BAKAL MENJADI ‘PENGACAU’ DALAM BURUAN TAKHTA CP150 MUSIM 2021

Mohd Izam Ikmal dari pasukan SCK Honda Racing Team bakal menjadi ‘pengacau’ dalam pertembungan terakhir CP150 musim 2021

Mohd Izam Ikmal dari pasukan SCK Honda Racing Team bakal memainkan peranan sebagai ‘pengacau’ dalam pertembungan terakhir musim 2021 Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix minggu ini.

Pelumba Honda tersebut membuat kejutan dalam sesi kelayakan CP150 apabila berjaya mencatat masa terpantas 1’20.732s. Izam mengaku dirinya turut terkejut dengan keputusan sesi kelayakan CP150.

“Saya begitu teruja dan sedikit terkejut dengan keputusan hari ini. Saya tidak pernah terfikir ingin ‘kacau daun’ dalam buruan takhta CP150 ini. Matlamat saya dalam sesi kelayakan tadi hanya ingin terus mengasah skil peribadi dengan mengekori rapat pelumba-pelumba handalan lain,” jelas Izam yang menduduki tangga ke-15 keseluruhan selepas lapan pusingan Kejuaraan.

Daripada lima pelumba yang berpeluang bergelar juara musim ini, hanya empat pelumba yang berjaya melayakkan diri untuk menyertai sesi SuperPole pada hari perlumbaan. Kasma Daniel Kasmayudin mencatat masa kedua terpantas dengan 1’20.863s.

Pendahulu kejuaraan, Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Idemitsu Team, mencatat masa ketiga terpantas dengan 1’20.981s. Namun, Azroy nampaknya semakin tertekan setelah dua kali terjatuh semasa sesi latihan bebas dan sesi kelayakan.

Mohd Akid Aziz mencatat masa keempat terpantas manakala Ahmad Afif Amran yang sedang mengejar gelaran juara ketiga dalam karier peribadinya, mencatat masa ke-6 terpantas.

 

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook