Persaingan sengit di antara pelumba-pelumba CP125 berakhir apabila Md Irfan Haykhal Amidi dari pasukan Honda KC Racing menyambar tempat pertama di pusingan kelapan, Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix.
Irfan telah tampil hebat di perlumbaan petang tadi apabila beliau yang bermula di petak grid kesebelas dengan pantas mengambil P4 di lap pertama. Beliau kemudiannya mengukuhkan kedudukannya di lap-lap seterusnya sebelum mengambil alih tempat pelumba yang pada ketika itu menduduki P1 di lap ketujuh.
Berbaki lapan lap lagi, Irfan telah mempertahankan kedudukannya walaupun diberikan saingan sengit oleh pelumba di P2 iaitu Md Shafiq Rasol yang menanti peluang untuk menyambar. Perlumbaan itu menjadi lebih mencabar di lap terakhir apabila Shafiq berjaya memintas Irfan. Namun begitu, Irfan tidak putus harapan dan dalam masa beberapa saat, beliau memintas Shafiq dan mengambil balik kedudukan di P1.
Beberapa saat lagi ke garisan penamat dan di selekoh terakhir, perlumbaan di antara Irfan dan Shafiq bertambah hebat apabila duo tersebut berebut untuk sampai ke garisan penamat. Irfan berjaya apabila beliau sampai terlebih dahulu dengan catatan masa 11’38:975s.
Menurut Irfan, “Pada perlumbaan tadi, saya cuba untuk masuk ke kelompok lima keatas. Kemudian, pada setiap lap seterusnya, saya cuba untuk memintas seorang demi seorang. Pada lap ketujuh dan seterusnya, saya cuba mengambil P1 dan berjaya. Lap terakhir sememangnya amat kompetitif tetapi saya cuba juga untuk teruskan momentum. Akhirnya, saya berjaya.”
Tempat kedua pula jatuh ke tangan Md Shafiq Rasol dari pasukan ONEXOX TKKR Racing team dengan catatan masa 11’38:979s.
Md Fareez Afeez Abd Rahman dari pasukan YYPang Yamaha Racing Team mengambil tempat ketiga dengan catatan masa 11’40:677s.
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook