Cuaca hujan sapanjang hari ini tidak melemahkan semangat mahupun menghampakan pelumba-pelumba Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix di pusingan kelapan yang berlangsung di Litar Lumba Tangkak petang ini. Malah disambut meriah oleh PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing apabila pasukan tersebut meraih kedudukan 1-2 di podium bagi kategori CP150.
Perlumbaan kategori CP150 kali ini telah merakam strategi pasukan apabila dua pelumba sepasukan, Md Izzat Zaidi Md Salehan dan Ahmad Afif Amran memberikan persembahan yang cukup mantap dalam mempertingkatkan kedudukan pasukan secara keseluruhan. Walaupun Izzat hebat pada sebelas lap pertama dalam mempertahankan kedudukannya di P1, Afif bijak menggunakan strategi untuk mencapai kedudukan P1 apabila situasi di litar lebih sesuai untuk beliau. Strategi ini memberikan Afif peluang untuk mengekalkan kedudukannya di tangga teratas secara keseluruhan.
Dari lap kedua belas sehingga tamatnya perlumbaan, Afif telah tampil dengan momentum yang mantap walaupun dalam keadaan litar yang basah. Beliau bukan sahaja mampu mempertahankan kedudukannya malah juga telah mengendalikan jenteranya tanpa melakukan sebarang kesilapan. Pada selekoh terakhir, Afif juga kelihatan meningkatkan kelajuan sebelum sampai ke garisan penamat.
Afif mencatatkan masa terpantas bagi sesi perlumbaan akhir pada 15’05:875s.
Menurut Afif, “Minggu ini adalah suatu minggu yang baik untuk saya. Dari sesi latihan sampailah ke perlumbaan akhir, saya dapat buat yang terbaik. Apa-apa masalah berkenaan dengan jentera dapat diselesaikan dengan serta-merta. Semua ini adalah hasil usaha pasukan saya dan krew yang terlibat dalam penyediaan jentera.”
“Dalam perlumbaan tadi, saya membuat sedikit kesilapan di permulaan tetapi saya cuba yang terbaik untuk kejar dalam dua lap dan berjaya ke depan. Ini adalah antara strategi saya bersama rakan sepasukan saya sebab saya cuba memaksimumkan mata untuk juara keseluruhan. Saya berterima kasih kepada pelumba sepasukan saya, Izzat Zaidi yang banyak menolong saya pada perlumbaan kali ini.”
Tempat kedua pula disambar oleh Izzat dari pasukan dengan catatan masa 15’07:601s.
Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Idemitsu Team mengambil tempat ketiga dengan catatan masa 15’09:482s.
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook