Menjelang pusingan terakhir Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2024 di Stadium Negeri Pulau Pinang, Danial Johan dari ONEXOX TKKR RACING TEAM semakin bersemangat untuk mengakhiri musim ini dengan pencapaian terbaik. Menghuni tangga ke-6 keseluruhan dengan 73 mata, Danial hanya terpaut satu mata di belakang rakan sepasukannya, Md Afizi Supaat, yang berada di kedudukan ke-5 dengan 74 mata. Dengan peluang yang masih terbuka di baki satu pusingan ini, Danial berusaha keras untuk menempatkan dirinya dalam kelompok 5 terbaik musim ini.
Danial berkata, “Peluang saya berada dalam kelompok 5 terbaik adalah baik kerana jarak saya dengan pelumba di kedudukan 4 dan 5 tidak terlalu jauh. Jika saya beraksi dengan baik pada pusingan terakhir, saya yakin dapat mengumpul mata yang cukup untuk memperbaiki kedudukan keseluruhan,” katanya.
Perjalanan Danial sepanjang beraksi dalam kategori CP125 menunjukkan peningkatan yang positif. “Tahun pertama saya agak mencabar, berada di P14 keseluruhan, dan tahun kedua saya raih P16 keseluruhan. Namun, tahun ketiga ini, saya dapat merasai peningkatan yang ketara dan kini berada di kedudukan ke-6 keseluruhan. Alhamdulillah, dengan sokongan pasukan ONEXOX TKKR RACING TEAM, saya rasa banyak kemajuan yang saya capai,” ujar Danial.
Mengenai litar di Stadium Negeri Pulau Pinang, Danial mempunyai pengalaman dengan berlumba di litar itu sebanyak dua kali. “Litar ini sangat mencabar dengan selekoh-selekoh teknikal yang memerlukan fokus tinggi. Saya berharap dapat menguasai setiap bahagian litar dengan baik untuk mencatat masa terbaik,” tambahnya.
Pada pusingan tahun lepas, Danial terpaksa akur dengan keputusan “DNF” (Did Not Finish) akibat kemalangan, tetapi pengalaman itu memberi banyak pengajaran. “Saya belajar untuk lebih berhati-hati dan memperbaiki strategi perlumbaan saya. Pengalaman tahun lepas akan menjadi panduan untuk mengelakkan kesilapan yang sama,” katanya.
Danial berharap untuk mencapai podium pada pusingan terakhir ini. “Target saya adalah untuk mencapai kedudukan podium dan memberikan yang terbaik. Dengan sokongan pasukan dan persiapan yang padu, saya yakin saya mampu mencapai sasaran ini,” tambahnya dengan penuh keyakinan.