fbpx

“IM READY” – DEBUT BERSAMA PASUKAN BARU DI KATEGORI CP150, ADIB ROSLEY KEMBALI

“Bila dengar keputusan Team memang sedih lah. Mana tak sedihkan? Sudah 15 tahun bersama Sifu. Dah macam ayah dan anak. Bila dengar keputusan ini saya terpaksa akur,” dengan penuh nada sebak pelumba dua roda negara Adib Rosley mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan ‘senior’ Kejuaraan Malaysian Cub Prix, YYPANG Racing Team.

Hampir 15 tahun setia bersama Pasukan YYPANG Racing, Adib berjaya menyumbangkan beberapa kemenangan yang bermakna buat pasukan tersebut.

Adib mula menyertai sirkit kebangsaan dalam perlumbaan Yamaha GIVI Cup pada tahun 2007 dan beraksi selama dua tahun sebelum dinaikkan ke dalam kelas Wira. Dengan semangat juangnya yang tinggi, Adib berjaya meraih kemenangan di tangga kedua keseluruhan kelas Wira pada tahun 2009 dan kemudian pada tahun 2010 berjaya digelar Juara Keseluruhan kategori WIRA KBS.

Begitulah, perjalanan pelumba asal Selangor itu bermula dalam arena Sukan Permotoran berprestij negara, Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix ketika beliau berusia 13 tahun sehingga hari ini.

Pelbagai momen suka dan duka, memori pahit dan manis telah dicipta bersama pasukan dikendali  YY Pang atau lebih dikenali ‘Sifu’. Setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan. Setiap yang bermula pasti akan berakhir. Namun perjuangan demi minat dan karier tetap akan berterusan. Dan harus kita akur setiap pengakhiran itu akan ada permulaan yang baru.

Cahaya baharu mula menyinari karier Adib apabila menerima tawaran dari pasukan IDEMITSU HONDA YAM RACING, yang bakal melebarkan sayap ke kategori CP150 buat julung kalinya pada saingan edisi ke-30. Dengan pengalaman yang milikinya hampir dua dekad dalam dunia sukan permotoran dua roda, Adib dipercayai mampu mengalas cabaran baru ini dengan cekap!

“Sebenarnya saya sudah mula terima beberapa tawaran sewaktu bersama pasukan YYPang. Tetapi saya tidak mempunyai apa-apa perancangan untuk terima sebab saya tetap mahu kekal bersama pasukan SIFU. Namun, situasi berbeza berlaku. Pasukan membuat keputusan untuk ‘let go’ saya atas beberapa sebab dan saya pun terima.

“Bersama pasukan baru ini, satu cabaran baru juga sebab saya tak pernah bawa Honda sebelum ini, sepanjang karier saya. Ini adalah kali pertama dan pasukan juga belum mempunyai sebarang data saingan sebab ini adalah tahun debut bagi mereka dalam kategori CP150. Rasanya, saya akan sedikit bergelut awal musim sehingga saya dapat cari rentak dan data perlumbaan.

Adib yang baru-baru ini melalui proses pembedahan pembuangan besi kerangka akibat patah tulang peha dalam satu kemalangan yang berlangsung pada tahun 2019 ketika beraksi dalam Pusingan 6 MCP di Teluk Intan. Dalam tempoh yang singkat, walaupun belum pulih sepenuhnya pelumba berusia 28 itu sedia menempuhi cabaran musim baru pada pusingan pembuka tirai minggu ini.

“Im ready! That’s all I wantv to say!

“Memang tempoh yang sangat singkat untuk kembali pulih sepenuhnya. Dari segi fitness pun saya tidak boleh buat aktiviti berat sebab peha kan. Apapun saya kenali diri saya dan kemampuan saya. Passion yang selalunya akan drive saya lebih ke depan. Setiap kali saya sudah berada di atas trek itu, saya tak akan fikir banyak dan hanya mahu mengakhiri perlumbaan dengan baik.

“Ini adalah pasukan baru. Saya akan berpegang pada kepercayaan mereka ke atas saya. Musim baharu, pasukan baharu dan lembaran baharu buat saya. Let’s do this!”

Dengan penuh keyakinan, Adib berentap ke saingan pusingan pertama yang akan berlangsung di Litar Sepang Selatan, minggu ini.

Adib yang dikenali sebagai satu karakter yang tidak mengerti makna putus asa telah melalui pelbagai cabaran dalam dunia permotoran ini. Tiga kali kemalangan major, tetap tidak gentar. Soal kesetiaan langsung tidak boleh dipersoalkan, sama ada terhadap pasukan atau cinta hati yang jauh dari mata. Sama-sama kita ucapkan Selamat Maju Jaya kepada Adib, Ganbatte!!!!