Minat yang mendalam dan aktif dalam sukan permotoran termasuk berlumba dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS tidak menghalang pelumba berbakat AEON Credit Service Yamaha NVX Challenge untuk mengalihkan fokusnya terhadap akademik apabila tahun ini membuka tirai perlumbaan dengan cabaran baru sambil mengharungi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
Apatah lagi pelumba yang memiliki nama sensasi, Arash Tsunami Kamaruddin, baru sahaja dinaikkan pangkat ke tahap yang lebih tinggi iaitu ke kategori CP125 selepas menerima tawaran PETRONAS Yamaha Sprinta-CKJ Racing.
Tekanan untuk menyerlah dalam akademik dan kerjayanya sudah pastinya menyelubungi Arash atau lebih mesra dikenali ‘Nami’. Bak kata pelajaran dan sukan perlu bergerak seiring! Namun sedikit pun tidak gentar, Arash cukup optimis mampu memberi fokus yang seimbang terhadap kedua-dua bidang tersebut.
“Sasaran saya ketika saya menjejaki arena sukan permotoran memang untuk pergi lebih jauh dan saya bekerja keras demi keputusan yang positif. Alhamdulilah, usaha saya berjaya menarik perhatian salah satu pasukan ‘senior, dalam arena MCP, Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing.
“Saya cukup teruja dan bersyukur bila menerima tawaran dari pasukan tersebut. Ini adalah peluang dan ujian terbesar bagi saya buat masa ini. Saya menyifatkan ini sebagai satu ujian disebabkan pusingan pertama bagi musim ini bertindih dengan minggu peperiksaan SPM. Peperiksaan yang bakal menetukan hala tuju hidup saya.
“Di sini saya tidak maksudkan sukan permotoran tiada hala tuju tetapi jika bakat saya seiring dengan pelajaran sudah pastinya ia akan membantu saya pergi lebih jauh terutamanya untuk merealisasikan impian saya untuk beraksi di pentas antarabangsa satu hari nanti.” kata Arash.
Mengimbas kembali prestasi pada musim lalu, seperti mewajarkan nama tengahnya ‘Tsunami’, Arash mengganas serupa ombak besar dalam kategori AEON Credit Service Yamaha NVX Challenge dengan menaiki podium sebanyak 7 kali sebelum menyertai pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing untuk bersaing dalam kategori Wira KBS bagi tiga pusingan terakhir. Arash juga telah mengambil tempat ketiga secara keseluruhan bagi kategori Yamaha PETRONAS Super Series.
Pelumba yang dinobatk juara keseluruhan Yamaha NVX Challenge pada musim lalu, dengan aura yang dimiliki dan diterjemahkan pada penampilan kali keduanya dalam saingan sukan permotoran dua roda itu berjaya menarik perhatian pemilik pasukan CKJ Racing.
Menurut Arash, tahap stamina yang dimilikinya menjadi kelebihan berbanding pelumba-pelumba lain untuk menonjol dalam kategori One Make Race, bagaimanapun pelumba asal Kuala Selangor itu akur cabaran berbeza menanti pada musim ini.
Katanya “Pada musim lalu saya dapat mengenali kemampuan sebenar yang saya miliki, stamina, fitness dan sebagainya. Tapi saya percaya kali ini ia agak berbeza. Pengalaman baru bersama rider-rider senior. Ada juga yang pernah beraksi di peringkat Asia. Jadi musim ini lebih kepada menimba ilmu tetapi saya tak turun tanpa sasaran peribadi.
“Saya akan berusaha untuk dapatkan rentak dan menyesuaikan diri dengan jentera secepat mungkin agar saya dapat mengejar rider-rider yang berpengalaman. Bukan sesuatu yang mudah tetapi Insyallah saya akan buat yang terbaik.”
Mengiringi Arash, juara keseluruhan kategori Yamaha Super Series, Md Adie Putra Sukarno, turut mara bersama ke kategori CP125 bersama pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor selepas mengharungi satu musim yang cukup menarik.
Menaiki podium bukan satu perkara yang mudah bagi setiap pelumba. Menafikan kenyataan ini, Adie telah menyambar tempat pertama di podium untuk lapan pusingan berturut-turut dengan mencatat 195 mata. Kedudukannya sukar digugat walaupun ketinggalan satu pusingan akibat kecederaan.
“Pasukan yang saya bersama sebelum ini telah membentuk dan mengasah kemahiran saya agar saya cemerlang di atas litar setiap kali berlumba. Terima kasih kepada mereka, kerana mereka lah saya dapat berentap ke kategori lebih tinggi bagi musim ini. “Bersama pasukan baru, saya bersyukur atas peluang ini. Saya janji akan mengguna baik peluang ini untuk menimba ilmu sebanyak mungkin untuk meningkatkan tahap daya saing kerana saya akan berlumba bersama pelumba berkaliber dan lebih berpengalaman. Satu cabaran yang agak besar. Saya akan buat yang terbaik,” kata Adie.